suria

Sherry Ibrahim Kecewa Hubungan Dengan Fattah Dilaporkan Sudah Putus

Sherry dan Fattah.
PETALING JAYA: Pelakon Sherry Ibrahim kecewa apabila hubungan cinta dengan aktor Abdul Fattah Amin, 24, dikatakan sudah berakhir seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar mingguan pada Ahad.

Sherry, 31, memberitahu terkejut apabila membaca laporan tersebut kerana ia tidak benar sedangkan mereka masih lagi menjalinkan hubungan seperti biasa.

"Saya tak tahu nak cakap apa apabila membaca berita itu. Rasa kelakar pun ada. 'Its a joke of the day'.

"Tetapi saya amat kecewa kerana laporan itu seolah-olah telah menoktahkan perhubungan kami tanpa sebarang kenyataan daripada saya mahupun Fattah," katanya kepada mstar Online.

Sebuah akhbar mingguan pada Ahad menerusi ruangan pojok melaporkan hubungan Sherry dan Fattah sudah pun berakhir.

Ini berikutan Sherry telah membuang ke semua gambar dia bersama aktor tersebut di akaun Instagram miliknya selepas 'menghidu sesuatu' mengenai Fattah.

Sementara itu, Sherry berkata, ada sebab mengapa dia membuang foto-fotonya bersama Fattah, dan perkara itu tidak bermakna mereka sudah tidak lagi berhubungan cinta.

"Saya ada sebab sendiri yang tidak perlu dijelaskan kepada umum. Kami bukannya pasangan suami isteri, jadi tak mahulah hubungan ini nampak berlebih-lebih. Tambahan pula kami perlu menjaga hati keluarga masing-masing.

"Yang penting umum tahu bahawa kami menjalinkan hubungan, itu sudah cukup. Dan tak elok rasanya apabila sesebuah perhubungan itu terlalu didedahkan. Apa-apapun kami tidak melatah dengan gosip itu," tegasnya.

Sherry dan Fattah mula menjalinkan hubungan ketika mereka sama-sama menjalani penggambaran drama Cinta Ibadah sebanyak 130 episod, Jun lalu.

Dalam perkembangan lain, Sherry kini sedang menjalani penggambaran Keluarga Karaoke untuk siaran Astro Mustika HD.

Fattah yang dihubungi tidak menjawab panggilan telefon.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain