suria

Wang RM100,000 Milik Anak Andy Flopp Poppy Lesap Dilarikan 'Pegawai Kastam'

Dan mengakui sikapnya yang mudah mempercayai orang lain antara faktor dia ditipu sebanyak RM100,000.

PETALING JAYA: Impian vokalis kumpulan Loka yang juga anak kepada penyanyi Andy (Flop Poppy) iaitu Dan Azreen untuk memiliki kereta baharu musnah apabila wang deposit berjumlah RM100,000 miliknya lesap dilarikan seorang lelaki kira-kira lima bulan lalu.

Dan atau nama sebenarnya Megat Daniel Azreen, 22, berkata, jumlah tersebut diserahkan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Kastam Daerah Lumut, Perak bagi proses pembelian tiga kereta untuk dirinya, tunang dan seorang kenalan mereka.

"Ada seorang kenalan yang memperkenalkan saya kepada individu itu dan saya mula yakin apabila dia menunjukkan bukti termasuk kad kuasa miliknya selain memberitahu dia boleh membantu dalam proses pembelian kenderaan lelong Kastam.

"Malah dia turut membawa saya, tunang dan seorang kenalan ke gudang tempat penyimpanan kereta tersebut di Perak kononnya tempat kereta kami disimpan," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.

Jelas Dan lagi, lelaki yang dikenali sebagai Mohd Faleq itu turut membawa mereka ke rumah keluarganya di Bota Kiri, Perak untuk berjumpa keluarganya dan ia menambahkan keyakinannya terhadap individu itu.

"Selepas kami menyerahkan wang berkenaan secara tunai kepadanya dia ada menyerahkan satu salinan geran dan sijil daripada Puspakom namun tidak menyertakan nombor plat kenderaan tersebut.

"Sejak itu dia mula memberikan pelbagai alasan apabila ditanya bila kami boleh dapat kenderaan tersebut sehinggalah dia menghilangkan diri. Kali terakhir dia menghantar mesej kepada saya pada 27 September lalu," ujarnya.

Dan turut memuat naik gambar lelaki yang didakwa melarikan wangnya.

Dalam pada itu, Dan memberitahu sebelum membuat laporan polis mereka merujuk perkara itu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan mendapati kereta yang dimaksudkan tidak pernah didaftarkan.

Menyedari mereka ditipu, Dan membuat laporan di Balai Polis Mutiara Damansara dekat sini baru-baru ini dan kes berkenaan sedang dalam siasatan.

"Kami bukan sahaja membuat laporan polis malah turut menghubungi keluarganya di Perak namun mereka turut mendakwa tidak mengetahui di mana lelaki itu berada," ujarnya.

Sementara itu, Dan berkata, pendedahan tentang perkara tersebut di laman sosial Instagram dan Facebook baru-baru ini turut mendapati lelaki berkenaan telah melakukan banyak penipuan berhubung jual beli kereta.

Malah kata Dan, beberapa rakan dan saudara terdekatnya juga pernah menjadi mangsa penipuan tersebut dengan pelbagai taktik sebelum melarikan diri selepas mendapat wang yang diminta.

"Saya salahkan diri saya sebenarnya kerana terlalu mempercayai orang dan langsung tidak terdetik dalam hati saya akan ditipu sehingga ratusan ribu ringgit.

"Ralat menang ralat kerana itu adalah wang simpanan saya tetapi ini adalah pengajaran buat saya supaya tidak mudah mempercayai orang lain. Tidak lagi selepas ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dan berkata, kumpulan Loka bakal melancarkan single terbaharu mereka berjudul Teguh Tekadmu selain beberapa projek solo bersama Life Records.

Selain itu, Dan sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan makanan bawah label Bonisimo Malaysia selain merancang untuk memasarkan produk mereka ke luar negara.

"Produk yang kami keluarkan adalah snek seperti Almond Snaps yang agak mahal di luar negara dan kami mengambil peluang ini untuk memasuki pasaran antarabangsa dengan harga lebih murah dan paling penting ia halal," katanya.

Dan Loka.

Artikel Lain