PENYANYI Amelina belum merancang untuk berkerjasama dengan mana-mana artis termasuk rakan penyanyi dangdut iaitu Mas Idayu sempena kemunculan semulanya dalam industri hiburan. Amelina atau nama sebenarnya, Nurazlina Amir Sharifuddin, 40, berkata, buat masa ini dia hanya mahu menumpukan perhatian kepada single solo pertamanya bersama komposer Ajai. "Saya tidak diberitahu apa-apa untuk bekerjasama dengan Mas Idayu, kemunculan semula saya adalah dengan sebuah lagu solo bersama Ajai sahaja. "Namun, selepas lagu solo ini mungkin akan ada perancangan untuk bekerjasama dengan artis lain tetapi yang berbeza genre," ujarnya kepada mStar Online. Amelina berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan penyanyi Mas Idayu di sebuah akhbar harian dia akan berduet pada kemunculan semula ratu dangdut itu tidak lama lagi. Mas Idayu memberitahu sebuah akhbar harian bahawa akan muncul dengan Amelina pada kembunculan semula penyanyi itu tidak lama lagi. Sementara itu, ditanya tentang hubungannya dengan penyanyi tersebut yang sebelum ini dikatakan kurang baik, Amelina berkata ia hanya tanggapan segelintir pihak. Jelas Amelina, dia dan Mas Idayu tidak pernah bergaduh, namun sering dilaga-lagakan oleh pihak tertentu yang kurang senang dengan mereka. "Saya dan Mas Idayu baik-baik sahaja, kami tidak pernah bergaduh pun, cuma sejak dulu ada sahaja pihak yang cuba burukkan hubungan kami sehingga orang sangka kami bermasalah. "Dia ada menyapa saya di laman sosial, cuma kami tidak rapat berbanding hubungan saya dengan artis dangdut lain," ujarnya. Bagaimanapun, Amelina berkata, kemunculannnya kali ini bukan bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana artis dalam industri seni. Dia juga hanya mahu memeriahkan dan mengembalikan muzik dangdut yang sudah hampir mati di negara ini. "Saya tidak mahu cerita lama diungkit kembali, apa yang sudah lepas biarlah berlalu. Saya kembali dalam industri untuk menambahkan kemeriahan sahaja. Saya tiada niat untuk bersaing dengan mana-mana artis lama atau baru sekali pun," ujarnya.