PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Betty Banafe tidak melihat tindakannya memperlahankan karier seninya sejak melahirkan puteri sulungnya, Julia Claire Dargus setahun lalu sebagai sesuatu merugikan. Betty sebaliknya berkata, sepanjang tempoh itu dia puas dapat melihat tumbesaran Julia dihadapan matanya dan meletakkan soal karier di tangga kedua. "Tidak dinafikan banyak tawaran yang terpaksa saya tolak sepanjang tempoh itu namun ia berbaloi kerana Julia membesar dihadapan mata saya. "Kebanyakkan masa saya adalah bersamanya dan saya cukup puas dapat membesarkan sendiri Julia," katanya kepada mStar Online. Betty ditemui pada majlis sambutan hari jadi pertama Julia yang diadakan di Restoran Hadramawt The Curve di sini pada Jumaat. Dalam pada itu, Betty berkata, faktor Julia masih menyusu badan turut menjadi penyebab dia tidak boleh berenggang dengan anak kesayangannya itu. Jelas Julia, buat masa ini dia masih belum berhasrat untuk berhenti menyusukan Julia dan menggantikan dengan susu formula kerana susu ibu memberi kesan luar biasa kepada perkembangan anaknya. "Banyak kebaikan susu ibu yang membuatkan saya tidak terfikir untuk menggantikan dengan susu formula. "Malah saya tidak fikir Julia menyukainya kerana dia sudah biasa menyusu badan," jelasnya. Sementara itu, Betty sempat membuat pelancaran jenama fesyen kanak-kanaknya pada petang itu yang diberi nama Julia Betty. Jelas Betty, jenama itu mengkhususkan kepada pengeluaran pakaian kanak-kanak khususnya perempuan yang direka khas olehnya bersama kolaborasi dengan pereka fesyen muda iaitu pereka fesyen, Amaleena Yusoff dan Adam Muzaini Schneider. "Pakaian yang dikeluarkan adalah untuk bayi berumur setahun sehingga kanak-kanak empat tahun. "Menerusi projek ini juga saya berkolaborasi dengan pereka muda dalam mengetengahkan bakat mereka sebagai pereka fesyen dengan idea-idea terkini," katanya. Peminat yang ingin mendapatkan koleksi daripada Julia Betty boleh mengikuti akaun @juliabettybanafe di Instagram.