KUALA LUMPUR: Penyanyi Fauziah Latiff menganggap dakwaan tidak lagi boleh menyanyi sebagai perkara biasa apabila dia sudah lama tidak mengeluarkan lagu baharu. Fauziah atau nama sebenarnya, Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, 44, berkata, dia enggan mengambil pusing perkara tersebut dan menganggap ia sebagai pandangan masing-masing. "Itu perkara biasa bila ada suara negatif bahawa saya tidak boleh menyanyi kerana mungkin saya sudah lama tidak keluar lagu baru. "Saya tidak boleh puaskan hati semua orang dan saya tidak ambil hati dengan kritikan sebegitu, biarlah apa mereka ingin cakap kerana bagi saya ia adalah pandangan peribadi mereka," ujarnya kepada mStar Online. Sementara itu, Fauziah berkata, dia berjanji untuk menunaikan permintaan peminat untuk muncul dengan lagu baharu. Katanya, buat masa ini, dia masih mencari lagu yang sesuai dan memberi impak kepada peminat. "Saya akan tunaikan janji kepada peminat untuk keluar dengan lagu baru, tapi sekarang masih belum dapat lagu yang sesuai. "Saya tidak mahu membuat sambil lewa atau asalkan ada single baru. Lagi pun, single baru saya nanti bukan kerana saya mahu buat kemunculan semula tetapi mungkin ia adalah projek khas," ujarnya.