suria

Memey Suhaiza Batal Hasrat Bercuti Kerana Risiko Kandungan

Memey Suhaiza dan suaminya Norman Hakim.

PETALING JAYA: Pelakon Memey Suhaiza terpaksa membatalkan hasratnya untuk bercuti ke Korea Selatan pada Januari depan bagi mengelakkan risiko keguguran terhadap kandungannya yang kini berusia lima bulan.

Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 26, berkata, doktor menasihatinya agar tidak menaiki pesawat pada tarikh tersebut berikutan kandungannya ketika itu tidak bersesuaian untuknya menaiki pesawat.

"Saya dan suami memang sudah rancang dan membuat persiapan untuk melancong ke Korea pada 8 Januari depan. Kami sudah kosongkan jadual dan hampir-hampir membeli tiket.

"Tetapi saya perlu meminta surat kebenaran daripada doktor untuk menaiki pesawat sebelum membeli tiket. Namun, selepas itu doktor menasihatkan agar tidak menaiki pesawat pada usia kandungan enam bulan kerana bimbang berhadapan dengan pelbagai risiko,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Memey berkata, sejurus mendapat tahu perkara itu, suaminya pelakon Norman Hakim membuat keputusan agar rancangan percutian mereka ditangguhkan sehinggalah selepas dia selamat bersalin.

Jelasnya, biarpun berasa terkilan, namun dia percaya ada hikmah disebalik perkara tersebut.

"Selepas berjumpa doktor, abang Norman terus membatalkan percutian tersebut kerana dia tidak mahu apa-apa terjadi.

"Doktor beritahu terpulang kepada kami sama ada untuk pergi atau tidak. Tidak mengapalah mungkin kami boleh pergi lain kali sahaja," ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang kehamilan cahaya mata keduanya ini, Memey tidak mempunyai banyak alahan seperti kandungan pertama dahulu.

Jelasnya, setakat ini dia masih boleh menjalani penggambaran beberapa buah drama.

"Alhamdulillah, kandungan saya sekarang sudah lima bulan dan saya tidak mengalami banyak alahan. Kalau kandungan pertama dulu memang banyak ragam, mungkin sebab anak pertama,” katanya.

Memey berkata, hasil imbasan yang dilakukan, berkemungkinan dia bakal melahirkan bayi lelaki yang dijangka pada April 2015.

Sebelum ini iaitu pada 1 Februari 2013, Memey turut melahirkan anak lelaki yang diberi nama Mohamed Darwisz Hakim.

Memey Suhaiza, Norman Hakim

Artikel Lain