suria

Adlin Aman Ramlie Larang Emelda Rosemila Aktif Berlakon

Emelda hanya pilih watak yang tertentu sahaja.
PETALING JAYA: Pelakon Emelda Rosemila memberitahu suaminya aktor Adlin Aman Ramli tidak menggalakkan dia untuk terlalu aktif dalam bidang lakonan.

Emelda atau nama sebenarnya, Emelda Rosmila Abdul Hamid, 34, berkata, disebabkan perkara itu, dia terpaksa memilih watak yang terbaik dan benar-benar ingin dilakonkan sahaja.

"Sejak berkahwin suami tidak benarkan saya untuk berlakon, cuma kalau ada cerita dan watak yang bagus dan saya ingin berlakon sahaja dia benarkan.

"Dia tidak mahu saya susahkan diri terutama apabila watak-watak berat yang akan memenatkan saya," katanya kepada mStar Online.

Emelda berkata demikian ketika ditemui selepas tayangan telefilem Oh My English: Villa Isabellaaa!, di GSC Signature, The Gardens, Rabu lalu.

Telefilem komedi ini bakal bersiaran pada 27 Disember ini, pukul 9 malam di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya (saluran 135).

Dalam pada itu, tambah Emelda, dia tidak pernah menerima tawaran lakonan yang berkehendakkan dia berada di luar Kuala Lumpur dan Selangor.

Emelda dan Adlin di majlis berinai. -foto mStar
Gambar perkahwinan Adlin dan Emelda pada tahun 2009.

Sementara itu, bercerita tentang watak telefilem terbaharunya itu Emelda berkata, dia menerima watak sebagai Puan Ponti berikutan watak tersebut belum pernah dibawa sebelum ini.

Dia juga tidak mahu melepaskan peluang untuk berlakon dalam drama siri popular yang juga menjadi kegemarannya iaitu Oh My English.

"Saya suka tengok cerita ini sebab itu ketika ditawarkan saya terus terima. Lebih-lebih lagi watak seram saya dalam telefilem itu sangat menarik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Emelda kini berjinak-jinak dalam bidang rekaan baju di bawah label sendiri iaitu 'Emelda Rose Kuala Lumpur.'

Bisnes yang sudah hampir tiga tahun itu kini semakin berkembang dan dia mula membuat rekaan untuk pakaian pengantin dan tajaan baju artis di acara hiburan tertentu.

"Alhamdulillah label pakaian saya iaitu Emelda Rose semakin berkembang dan saya kini akan keluar pakaian pengantin serta gaun petang.

"Setakat ini saya banyak menaja baju-baju selebriti untuk hadir ke majlis-majlis hiburan," ujarnya.

Emelda mendirikan rumah tangga dengan Adlin Aman Ramlie pada 22 Mei 2009.

Artikel Lain