suria

Bapa Kecam Majlis Kahwin Yaya Maembong & Wan Raja

Wan Raja sah bergelar suami kepada Yaya Maembong pada 12 Disember lalu.
PETALING JAYA: Bapa kepada Yaya Maembong iaitu pelukis terkenal Ismail Embong mengecam majlis pernikahan anaknya itu dengan pelakon Wan Raja kerana mengenepikan peranannya sebagai seorang bapa.

Ismail, 66, berkata, pasangan berkenaan mengadakan perkahwinan dengan cara membazir termasuklah menguruskan majlis berinai yang tidak mendapat keizinannya sedangkan perbuatan itu adalah bercanggah dengan ajaran agamanya sebagai seorang Islam.

"Kalau diminta izin, saya tetap haramkan majlis itu (malam berinai) kerana ini bercanggah degan agama saya anuti. Tambah pula, berbagai kritikan diterima, termasuk saya dihina tanpa sebab kerana kononnya ini ritual saya izinkan," katanya meluahkan perasaan panjang lebar dalam Facebook miliknya pada Isnin.

Terdahulu Yaya atau nama sebenarnya Rabbiati Adawiyyah, 38,  dan Wan Raja atau nama sebenarnya Saiful Redzuan Abu Bakar, 37, selamat bernikah di Masjid Al-Redhuan Hulu Klang dekat sini pada 12 Disember lalu dengan sekali lafaz.

Pasangan berkenaan kemudiannya mengadakan majlis resepsi persandingan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil dekat sini dua hari kemudian.

Yaya adalah kakak kepada pelakon Emma Maembong, Shikin Maembong dan Chacha Maembong.

Selain Yaya berkahwin dengan artis, Shikin terlebih dahulu mengikut jejak berkenaan selepas bernikah dengan Chef Riz iaiatu anak kepada Datuk Chef Wan pada 5 Disember 2014.

Dalam pada itu Ismail menerusi status Facebook yang sama menjelaskan, dia terkejut ketika berkunjung ke rumah Yaya di Bukti Antarabangsa dekat sini pada 10 Disember lalu iaitu dua hari sebelum anaknya bernikah apabila mendapati pasangan berkenaan mengadakan malam berinai.

Malah lebih mendukacitakan apabila Yaya dikatakan meminta tiga beradiknya yang tinggal bersamanya untuk keluar dari rumah itu kerana dia berhasrat tinggal di kediaman berkenaan selepas berumah tangga.

Kata Ismail, tiga beradik itu ialah Popo, Chacha serta seorang orang kelainan upaya (OKU) iaitu Amad.

"Berderai juga perasaan saya kerana Amad yang berkerusi roda terpaksa menaiki lif kerana kini mereka terpaksa tinggal di rumah flat," luahnya.

Gambar Ismail (empat dari kiri) bersama anak-anak perempuannya ketika Hari Raya Aidilfitri lalu.

Ismail turut mendedahkan ketika majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Al-Redhuan, dia sekali lagi terkilan apabila tidak dimaklumkan di manakah lokasi pernikahan tersebut.

Malah dia terpaksa menghabiskan masa seharian di rumah kerana menunggu jika ada mana-mana individu yang ingin membawanya menghadiri majlis akad nikah itu.

"Pada hari majlis tersebut saya seharian menunggu di rumah kerana tiada siapa yang datang untuk membawa saya, malah saya sendiri tidak tahu lokasi pernikahan itu. Seorang kawan telah membawa saya pada pukul 5.30 petang, namun saya sekali lagi marah apabila majlis itu tidak diadakan mengikut permintaan saya.

"Saya sudah beritahu bahawa buat secara kecil-kecilan sahaja dan jangan jemput media. Kalau ada yang ingin menaja sekalipun sedekah sahaja pada fakir lebih banyak pahala," ujarnya yang hadir pada majlis berkenan dan terus pulang selepas menjadi wali pernikahan.

Ismail menambah, dia tidak pernah memberi apa-apa syarat terhadap pilihan anak-anaknya, malah dia hanya meminta majlis dibuat secara sederhana sahaja.

Perkara tersebut turut diingatkan kepada tiga orang anaknya yang masih belum berkahwin agar tidak melakukan tindakan sedemikian.

"Saya sudah berpesan kepada rombongan merisik iaitu tiada hantaran, pilihan anak tidak pernah saya tentang, buat yang wajib sahaja dan kalau perlu bersanding hanya melakukannya secara sederhana sahaja," ujarnya.

Keluarga Wan Raja Terkejut Tindakan Ismail Embong

Semantara itu, pelakon Wan Raja yang dihubungi mStar Online pada Isnin bagi mengulas kejadian berkenaan berkata, keluarganya agak terkejut dengan tindakan Ismail Embong ketika majlis pernikahan dia dan Yaya berlangsung.

Wan Raja berkata, tindakan bapa mertua itu juga dianggap tidak adil kepadanya sebagai orang baharu yang masuk dalam keluarga tersebut.

"Saya mengaku pada majlis akad nikah saya, ada insiden yang kurang menyenangkan dengan cara bapa mertua saya dan saya malu dengan keluarga saya yang datang jauh dari Pulau Pinang untuk meraikan hari bahagia saya dan Yaya.

"Bagi saya tindakan bapa mertua saya itu tidak adil kepada saya kerana meninggikan suara di hadapan orang ramai termasuk tidak membenarkan media membuat liputan sebelum majlis akad nikah berlangsung. Secara jujur kejadian itu menganggu fokus saya untuk upacara akad nikah," ujarnya.

mStar Default Image
Wan Raja dan Yaya sah nikah dengan sekali lafaz pada 12 Disember 2014.

Tambah Wan Raja, punca sebenar bapa mertuanya bertindak demikian apabila tiada siapa yang mengaturkan persiapannya untuk ke upacara akad nikah.

Jelasnya, kesemua anak bapa mertuanya ketika itu sibuk dengan hal masing-masing hingga tidak mempersiapkan ayah mereka untuk hadir ke majlis tersebut.

"Saya tahu dia marah kerana tidak ada siapa yang buat persiapan untuk membawa ke majlis akad nikah kerana Yaya ketika itu sibuk malah adik-beradik yang lain ada penggambaran dan hal masing-masing.

"Saya tahu ia mungkin salah kami juga," katanya yang enggan mengeruhkan lagi keadaan.

Dalam pada itu, Wan Raja menjelaskan majlis malam berinai yang diadakan oleh isterinya sebelum pernikahan adalah dilakukan secara tertutup sahaja.

Tambahnya, perkara itu dirancang oleh adik-beradik isterinya yang mahu meraikan perkahwinan tersebut.

"Saya tidak masuk campur hal majlis berinai itu kerana ia adalah idea Yaya dan adik beradik dia lain. Saya datang pun sebab sekadar singgah selepas habis penggambaran.

"Saya tidak tahu hal itu menimbulkan kemarahan bapanya, tetapi sebelum ini ada juga adik beradik dia yang buat majlis berinai, tiada apa-apa masalah pun," katanya.

Selain itu dia turut menafikan kenyataan Ismail yang menuduh Yaya menghalau adik-beradiknya keluar dari rumah tersebut.

Katanya, keputusan untuk berpindah ke rumah lain adalah kehendak yang dibuat oleh adik-beradik berkenaan sendiri.

"Yaya menangis membaca status FB bapanya kerana dia tidak pernah menghalau adik-adiknya malah kami tidak kisah tinggal bersama. Tetapi mereka bertiga yang tetap mahu keluar tinggal di rumah baru itu," jelasnya.

Artikel Lain