suria

Anak Disuruh Buka Tudung, Butik Hamleys Mohon Maaf Kepada Rosyam

Rosyam menerima permohonan maaf yang dibuat oleh Hamleys Malaysia terhadap insiden melibatkan anak perempuannya, Nur Lisa, 17 tahun.
PETALING JAYA: Pihak pengurusan butik permainan kanak-kanak, Hamleys Malaysia telah mengambil tindakan disiplin terhadap salah seorang pekerjanya yang tidak membenarkan anak kepada penerbit dan pelakon Datuk Rosyam Nor memakai tudung sekiranya ingin bekerja dipremis berkenaan.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan butik berkenaan di Facebook pada Ahad, pekerja yang mengendalikan sesi temu duga itu tidak mempunyai kuasa untuk menemuduga atau mengambil pekerja selain memberikan maklumat tidak benar kepada Nur Lisa, 17.

"Setelah disiasat salah seorang pekerja kami yang baru dan tidak mempunyai kuasa untuk menemuduga atau mengambil pekerja telah memberi maklumat yang tidak betul kepada anak Datuk Rosyam.

"Tindakan disiplin telah pun diambil terhadap pekerja ini dan pihak kami berasa amat kesal dengan insiden ini dan berharap pihak Datuk Rosyam dan anaknya menerima permohonan maaf ini," kata kenyataan itu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Hamleys Malaysia di Facebook pada Ahad. 

Terdahulu, Rosyam menerusi laman Twitter miliknta meluahkan rasa kecewa apabila sebuah butik Hamleys cawangan One utama di sini mengarahkan anak perempuannya membuka tudung sebagai syarat untuk ditawarkan bekerja di kedai alat permainan kanak-kanak itu.

Rosyam yang berang dengan syarat berkenaan menyifatkan permintaan itu sebagai biadap dan meminta pelanggan tidak lagi mengunjungi butik tersebut.

"Sedih, hari ini anak saya yang baru habis SPM pergi minta kerja untuk isi masa terluang tetapi dengan syarat kena bukak tudung. Kedai Hamleys kurang ajar!," tulisnya di Twitter.

Dalam pada itu, Hamleys dalam kenyataan sama memberitahu pihaknya tidak pernah meletakkan sebarang polisi yang tidak membenarkan pekerja wanita memakai tudung sebagai salah satu syarat untuk bekerja dengan syarikat tersebut.

"Hamleys tidak mempunyai sebarang polisi yang mana pekerja wanita tidak dibenarkan memakai hijab malah kami mengalu-alukan semua yang ingin bekerja untuk datang membuat permohonan kerja, tidak kira bangsa atau agama," jelas kenyataan itu lagi.


Luahan Rosyam di Twitter mengenai insiden anaknya disuruh buka tudung.

Sementara itu, Rosyam yang dihubungi berkata, dia menerima dengan hati terbuka permohonan maaf tersebut dan berharap kejadian serupa tidak berulang dengan mana-mana premis lain.

"Sekiranya ada diskriminasi sebegitu bagaimana wanita Islam yang bertudung ingin mencari kerja? Tidak salah rasanya mengambil pekerja yang menutup aurat.

"Kelantangan saya mengenai perkara ini bukan ingin memburuk-burukkan sesiapa tetapi sebagai pengajaran agar ia tidak berulang di kemudian hari," katanya.

Rosyam Nor, Hamleys Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain