Pekin, 34, berkata, sehingga kini dia masih belum bertemu dengan mana-mana wanita yang memahaminya dan perkara itu membuatkan dia enggan memikirkan soal cinta buat sementara waktu.
"Saya percaya jodoh tidak akan kemana-mana dan saya pun belum bersedia untuk bercinta lagi.
"Bukannya serik, tetapi belum jumpa yang sesuai. Lebih baik saya fokus pada kerjaya seni dan perniagaan yang diusahakan," katanya kepada mStar Online.
Tambah pelakon filem Ophilia ini, dia juga belum memiliki kekasih kerana enggan hilang fokus terhadap perniagaan motor yang baru diceburinya itu.
Mengenai perniagaan Bike Concept, ia merupakan sebuah tempat membuat penambahbaikan pada motosikal berkuasa tinggi.
"Minat saya dalam dunia motor sejak kecil lagi dan sekarang ini pun saya bergiat aktif dengan kumpulan yang dipanggil Projek X dalam menjalani pelbagai aktiviti pengembaraan bersama motosikal berkuasa tinggi masing-masing.
"Sampai ke satu tahap, saya bersama rakan kongsi terus merancang ingin membuka kedai motor yang berbeza dengan kedai lain di mana kami menambahbaikkan sesebuah motor berkenaan. Alhamdulillah, akhirnya Bike Concept ditubuhkan.
"Ini masih lagi fasa pertama, banyak lagi perancangan yang akan dilakukan menerusi Bike Concept pada masa akan datang," ujarnya.