suria

Penggambaran Drama Zaman Sekarang Kelam Kabut - Nina Juren

Nina Juren akan kembali aktif berlakon.
PETALING JAYA: Pelakon Datin Nina Juren memberitahu proses penggambaran drama dan filem sekarang lebih sukar berbanding sewaktu dia aktif dalam dunia lakonan dahulu.

Nina atau naman sebenarnya Haznina Juren Haniff, 43, berkata, perkara tersebut membuatkan dia agak bimbang dan takut tidak dapat memberi kualiti lakonan terbaik pada kemunculan semulanya ketika ini.

"Proses penggambaran kini memang agak sukar berbanding dahulu yang mana penggambaran setiap babak tidak ikut turutan dan agak kelam-kabut.

"Kalau dahulu kami diberi skrip awal dan saya suka baca keseluruhan cerita untuk tahu apa sebenarnya filem atau drama tersebut, namun sekarang kita dapat skrip sebelum mula penggambaran iaitu pada saat-saat akhir.

"Saya agak terkejut pada awalnya dan beritahu penerbit yang saya takut apa yang saya lakonkan tidak seperti yang diharapkan," ujarnya bercerita tentang pengalaman ketika proses penggambaran sebuah drama berjudul Jangan Lafaz Janji yang bakal di tayangkan di RTM.

Nina Juren berkata demikian ketika ditemui selepas pratonton filem Romeo Kota, Kes Fail: Kriptik lakonan pertama pada kemunculan semula beliau dalam industri lakonan tanah air selepas hampir lapan tahun menyepi.

Tambah Nina, dia mengambil keputusan untuk kembali aktif memandangkan enam orang anaknya sudah besar dan mampu menguruskan diri mereka sendiri.

Bagaimanapun, kemuculannya semula adalah untuk mengubati kerinduannya dalam dunia lakonan selepas kali terakhir membuat kemunculan istimewa melalui drama Impak Maksima The Series pada lapan tahun lalu.

"Kalau diikutkan lapan tahun saya dah tak aktif kerana beri tumpuan pada anak-anak untuk mereka membesar. Dalam tempoh itu memang rasa rindu untuk berlakon dan berjumpa rakan-rakan dahulu.

"Sampaikan suami sendiri perasan kerana kebiasaannya selepas anak-anak tidur saya akan menonton semua drama dan filem Melayu, sekarang saya ambil keputusan untuk kembali kerana ank-anak saya sudah besar," katanya.

Sementara itu, Nina tetap menjaga batasan sebagai seorang ibu dan isteri dalam menerima sesuatu watak.

Dia juga lebih selesa menerima watak yang bersesuaian dengan usianya kini.

"Suami saya tidak pernah menghalang untuk saya berhenti atau berlakon, cuma saya yang memilih untuk bersama keluarga. Sekarang sudah kembali semula perlu jaga kepercayaan yang diberi suami dan sudah tentu ada batasan untuk saya terima watak.

"Saya rasa biarlah watak tersbeut sesuai dengan umur, kalau jadi ibu biarlah kepada anak-anak yang kecil," katanya.

Dalam filem Romeo Kota, Kes Fail : Kriptik, Nina bakal membawakan watak anak dara tua yang juga seorang pensyarah di sebuah kolej yang jatuh hati dengan anggota polis yang menyamar sebagai pensyarah baharu iaitu Aaron Aziz.

Filem Romeo Kota, Kes Fail: Kriptik akan berada di pawagam seluruh Malaysia bermula 8 Januari depan.
Nina Juren

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain