PETALING JAYA: Pelakon Hanez Suraya berkata, tunangnya yang merupakan seorang ahli perniagaan, Romie Razin Adilha, 35, kini bersifat lebih romantik berbanding sebelum ini yang lebih beremosi ketika di awal perkenalan mereka. Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abd Aziz, 30, menyifatkan perubahan sikap itu mungkin berlaku selepas kes penceraian tunangnya itu sudah selesai. "Sebelum kami putus pada Jun tahun lalu, dia seorang yang sangat beremosi. Saya faham kenapa sikapnya begitu memandangkan kes penceraiannya pun belum selesai dan ia sedikit sebanyak memberikan tekanan kepadanya. "Tetapi selepas dia melamar saya, makin romantik pula jadinya. Alhamdulillah, saya lihat dia pun lebih tenang berbanding sebelum ini," katanya yang dihubungi mStar Online pada Ahad. Hanez bertunang pada Sabtu lalu di kediaman keluarganya di Seremban. Hanez dan Romie telah melangsungkan majlis pertunangan pada Sabtu lalu di kediaman keluarga aktres itu di Seremban, Negeri Sembilan dan dijangka akan berkahwin dalam tempoh masa enam bulan ini. Pelakon itu dilamar selepas dua bulan Romie memujuk untuk kembali kepadanya selepas mereka berpisah pada Jun 2014. Awal tahun lalu, Hanez dikecam masyarakat apabila menjalinkan hubungan cinta dengan Romie, yang ketika itu masih lagi bergelar suami kepada Nur Liyana Manan. Bagaimanapun, pada 9 Disember 2014, Romie dan Liyana disahkan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. Dalam pada itu, Hanez berkata dia juga dapat melihat perubahan Romie yang tegas dan bersikap pelindung terhadap dirinya. "Saya sebenarnya terkejut, selepas majlis pertunangan kami, dia berani memberi kenyataan kepada media secara lantang dan tegas. "Dia siap cakap, akan melindungi saya daripada segala isu yang akan timbul. Berbanding dengan sebelum ini, dia jarang nak 'buka mulut'," tuturnya. Hanez dan Romie Sementara itu, Hanez berkata, sebagai permulaan 2015, dia ingin membuka buku baru dengan bersikap lebih positif pada diri dan ingin membina semula kerjaya lakonannya. Malah, dia turut membuang hampir kesemua foto-fotonya di Instagram bagi melupakan pengalaman buruk yang dilalui sepanjang tahun 2014. "Tahun 2014 adalah tahun yang penuh dugaan dan saya mahu mulakan nafas baru pada tahun ini terutamanya dalam kerjaya seni. "Alhamdulillah, saya sudah mula melihat peminat-peminat kembali menyokong saya. Moga perjalanan tahun 2015 lebih positif, InsyaAllah," ujarnya.