suria

Zed Zaidi Anggap AJK Baharu Seniman Mahu Jadi Presiden

Zed Zaidi

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menyifatkan enam ahli jawatankuasa (AJK) baharu persatuan itu yang cuba menimbulkan pergolakan dalam persatuan bersikap seolah-olah ingin menjadi presiden selepas mengeluarkan kenyataan media mempersoalkan peranannya sebagai pemimpin persatuan itu.

Enam AJK tersebut adalah Rashidi Ishak (Pengerusi Biro Sukan & Sosial), Datin Sofia Jane (Pengerusi Biro Pelakon), Khir Rahman (Pengerusi Biro Pendidikan Seni & Latihan), Arash Mohd (Pengerusi Biro Pemantauan & Penguatkuasaan), Sharifah Amani (Ketua Biro Seniman Muda) dan Lisa Surihani (Pengerusi Biro Sukarelawan & Penajaan).

Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil, 34, berkata,  kenyataan media mengenai perselisihan faham yang berlaku antara mereka adalah berbentuk peribadi dan ia tidak layak menjadi sebuah kenyataan rasmi mewakili persatuan itu.

Vanidah Imran

"Kenyataan media oleh AJK baharu itu adalah berbentuk peribadi, tidak mewakili Seniman kerana ia tidak mendapat kebenaran di peringkat tertinggi. Jika ikutkan protokol, mereka perlu mendengar arahan presiden tetapi mereka langsung tidak mendengar, apatah lagi menghormati.

"Sejak selesai mesyuarat agung pemilihan Seniman pada 27 September 2014, saya lihat wujudnya persatuan di dalam persatuan. Kesemua mereka nak jadi presiden, itu yang susah," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Ahad.

Pada Sabtu lalu, enam AJK baharu itu mengeluarkan sebuah kenyataan media mempertahankan tindakan Bendahari Seniman iaitu Vanidah Imran yang menyimpan buku cek persatuan itu.

Kenyataan itu turut menyentuh beberapa isu semasa berkaitan dengan persatuan dan ahli-ahlinya termasuk beberapa hal pentadbiran yang perlu diperkemaskinikan termasuklah keengganan Zed Zaidi mengadakan mesyuarat selepas disuarakan oleh AJK.

Enam AJK baharu persatuan itu juga yang turut disenaraikan dalam laman sembang berkumpulan iaitu group WhatsApp telah dikeluarkan sehingga menimbulkan rasa tikda puas hati mereka.

Sementara itu, Zed berkata, kewujudan group chat pada aplikasi WhatsApp sebelum ini adalah bagi mempermudahkan komunikasi antara satu sama lain, namun ia menjadi satu medan pergaduhan.
Arash Mohd

"Kalau nak diikutkan, dalam perlembagaan Seniman tidak wujud pun group chat Whatsapp, tetapi kita wujudkan juga bagi mempermudahkan komunikasi. Tetapi mereka ini gunakan ia sebagai tempat mencari salah dan bergaduh.

"Lebih baik  group chat itu ditutup. Saya pelik, tugas AJK sepatutnya memberi pendapat positif dan membantu presiden bagi mencapai visi dan misi persatuan, tetapi dengan AJK baru ini, ia tidak pun berlaku.

"Apabila semua ada ideologi sendiri dan tidak mahu mengikut ideologi presiden, ia menyukarkan pentadbiran Seniman," tegasnya.

Dalam pada itu, kata Zed, dia akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan masalah-masalah berbangkit selepas pulang daripada misi memberi bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan pada Khamis ini.
Seniman, Zed Zaidi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain