KUALA LUMPUR: Pelakon Zizan Razak meminta agar diberikan sedikit ruang untuk mengulas isu keretakan hubungannya dengan Emma Maembong selain menganggap ia sebagai satu dugaan. Zizan atau nama sebenarnya Razizan Abdul Razak, 31, berkata, buat masa ini dia tidak selesa untuk menjawab sebarang pertanyaan berhubung pendedahan Emma tersebut. "Maafkan saya. Buat masa ini saya Tidak selesa untuk menjawab sebarang pertanyaan berhubung isu itu (putus cinta). "Saya harap dapat diberi sedikit ruang buat sementara waktu ini kerana saya sendiri tidak tahu untuk cakap apa," katanya ketika ditemui mStar Online selepas selesai persembahan Tahajjud Cinta Sirah Rasulullah di Panggung Sari, Istana Budaya pada malam Rabu. [Ismail Embong Tidak Puas Hati Dengan Zizan Razak. SILA KLIK:] https://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2015/01/08/ismail-embong-vs-zizan/ Dalam pada itu, Zizan berkata, pendedahan Emma itu tidak menggangu tumpuannya sebaliknya menganggap ia sebagai dugaan yang perlu dihadapi dengan tenang. "Sebagai manusia biasa pasti akan diberi dugaan dalam hidup dan saya tidak terkecuali. "Masalah ini tidak menggangu saya sebaliknya saya terima dugaan ini dengan tenang," katanya. Sementara itu Utusan Online pada Khamis melaporkan, antara punca perpisahan itu kerana berlaku pergaduhan antara mereka selepas Zizan menyuarakan hasrat untuk membeli sebuah kereta mewah. Hasrat berkenaan tidak dipersetuju oleh Emma kerana dia tidak gemar lelaki yang suka membazir selain keinginan Zizan itu turut ditentang oleh ibunya sendiri. Kekecohan mengenai status hubungan pasangan berkenaan timbul sejak beberapa minggu lalu dan Zizan sempat menyangkal dakwaan kononnya mereka sudah putus sebelum Emma tampil mengesahkan perkara itu dalam sebuah akhbar. Selain konflik berkenaan, Zizan kini berhadapan dengan tindakan saman di mahkamah oleh rakan kongsi dan bekas pengurusnya iaitu Marina Juki dengan tuntutan lebih RM500,000 kerana pelanggaran kontrak.