suria

Inspektor Terima Barang Kes Pukul Awie Dalam Keadaan Dibuka

Awie (tengah) ketika hadir pada perbicaraan kes pukulnya di Mahkamah Majistret, Ampang pada Selasa.

AMPANG: Inspektor Latifah Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Rabu bahawa dia menerima tiga barang bukti kes melibatkan penyanyi Awie yang didakwa mendatangkan kecederaan terhadap isterinya pada 2 Jun lalu dalam keadaan ia telah dibuka.

Latifah yang juga saksi kedua dalam kes berkenaan menjelaskan ketiga-ketiga barang bukti itu dimasukkan ke dalam sampul surat berasingan namun ia telah dipotong dan dalam keadaan terbuka.

"Tiga barang berkenaan adalah kompak disk jenama Kingston dan dua buah telefon bimbit jenama Samsung berwarna hitam dan kelabu.

"Ketika ia diserahkan kepada saya oleh Lans Korperal Mohamad Khiri ia sudah dalam keadaan terbuka," katanya.

Latifah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan balas daripada peguam bela Awie iaitu Hazman Harun berhubung bahan kes yang diterimanya untuk melakukan siasatan.

Bagaimanapun, Latifah tidak bersetuju apabila Hazman menyatakan bahan kes itu dapat di akses oleh pihak ketiga sebelum sampai ke tangannya.

Jelas Latifah, dia menerima barang tersebut pada waktu sama ia diserahkan kepada Mohammad Khiri dan tidak mungkin ia dapat diakses oleh pihak ketiga.

"Untuk mengakses tiga barang tersebut perlu mengambil masa yang lama dan saya menerima tiga sampul itu sejurus ia diserahkan kepada Mohammad Khiri di kaunter.

"Mohammad Khiri juga perlu mengisi borang pengesahan penerimaan barang bukti dan ia perlu disahkan oleh pegawai penyiasat terlebih dahulu," katanya.

Tambah Latifah yang juga Juruanalisa Seksyen Audio Makmal Forensik dia juga hanya dimaklumkan untuk mengenal pasti ketulenan Rakaman Litar Tertutup (CCTV) dan untuk mengesan imej suspek dan pengadu kes berkenaan.

Katanya, dia mendapati rakaman tersebut yang disimpan dalam kompak disk jenama Kingston adalah  asli dan ia dikenal pasti menerusi tempoh rakaman yang tidak berubah.

"Ketulenan CCTV dari mata kasar saya menunjukkan tiada ubah suai kerana jika ada pergerakan waktu rakaman akan terganggu," ujarnya.

Latifah memberi keterangan dihadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene.

Dalam pada itu, Rozana yang sepatutnya memberikan keterangan berhubung kes berkenaan tidak dapat berbuat demikian apabila kes ditangguhkan pada 10 dan 11 Mac depan.

Ini kerana Rozana dan Awie perlu hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur  pada pukul 4 petang Rabu (petang ini) bagi mengetahui keputusan berhubung kes hak penjagaan sementara tiga anak mereka.

Mengikut pertuduhan, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rozana pada 2 Jun lalu kira-kira pukul 1.30petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana Hulu Kelang di sini.

Awie dan Rozana, 36, dilaporkan berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 2005.

Terdahulu Awie pernah berkahwin dengan penyanyi Arni Nazira pada Disember 1998 sebelum bercerai pada Oktober 2006.

 

Awie, Rozana Misbun

Artikel Lain