suria

Bekas Pengurus Dapat Perintah Halang Zizan Razak Ikat Kontrak Baharu

Zizan Razak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan supaya pelawak Zizan Razak tidak menandatangani sebarang kontrak baharu dengan mana-mana produksi selepas bekas pengurus peribadinya, Marina Juki berjaya mendapatkan injuksi sementara terhadapnya kerana melanggar kontrak.

Hakim Hassan Abdul Ghani pada Rabu mengeluarkan perintah itu secara ex-parte kepada Marina dari syarikat Wire Fame Entertainment Sdn. Bhd.

Peguam bekas pengurus peribadi selebriti itu, Harjit Singh Sandhu berkata, pihaknya memperoleh perintah berkenaan bagi menghalang Zizan atau nama sebenarnya Razizan Abdul razakl, 31, dariapda  menandatangani sebarang kontrak baharu atau endorsemen dengan mana-mana produksi sehingga injuksi kekal didengar di mahkamah.

Bercakap kepada pemberita di sini, Harjit berkata, kedua-dua pihak juga diarahkan supaya mengemukakan hujah bertulis untuk sesi pendengaran injuksi kekal nanti.

"Bagaimanapun, status quo untuk semua kontrak Zizan sedia ada, termasuk dengan Astro kekal," katanya.

Harjit berkata, mahkamah akan memutuskan pada 6 Mac ini sama ada untuk membenarkan permohonan Marina bagi mendapatkan injunksi kekal atau sebaliknya.

mStar Default Image
Gambar fail Marina menunjukkan salinan laporan polis terhadap Zizan.

Pada 30 September 2014, Marina, 31, memfailkan saman terhadap Zizan di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil berhubung pembekuan dua akaun syarikat Wire Fame Entertainment Sdn Bhd untuk satu tempoh yang lama.

Wanita itu mendakwa akibatnya beliau menanggung kerugian besar kerana artis-artis di bawah naungan syarikat itu  tidak berminat lagi menyambung kontrak kerana pembekuan akaun syarikat yang menunjukkan syarikat itu bermasalah.

Dalam saman itu beliau menamakan Maybank Islamic Berhad, Zizan dan syarikat Wire Fame sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Pada 5 November 2014, Marina memfailkan saman kedua di pejabat pendaftaran Mahkamah Sesyen Sivil terhadap Zizan.

Ia atas dakwaan melanggar kontrak perjanjian yang ditandatangani antara Zizan, syarikat Wire Fame dan plaintif (Marina) pada 3 Mei 2011 yang antara lain Zizan bersetuju melantiknya sebagai pengurus peribadi.

Perjanjian itu adalah untuk tempoh empat tahun dan akan tamat pada 2 Mei 2015.

Marina dalam pernyataan tuntutannya berkata bagaimanapun pada Mei 2014, pihak Astro telah mengesahkan Zizan berada di bawah pengurusan Astro dengan kontrak bernilai RM2 juta tanpa persetujuan syarikat Wire Fame dan plaintif.

Wanita itu mendakwa Zizan telah melanggar perjanjian kerana perpindahannya ke Astro dilakukan sebelum tamat tempoh kontrak dengan plaintif dan syarikat Wire Fame.

Marina mendakwa akibat pelanggaran perjanjian itu beliau menanggung kerugian teruk, oleh itu beliau memohon ganti rugi khas sebanyak RM535,500, ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Zizan Razak, Marina Juki

Artikel Lain