suria

Caliph Buskers Mahu Terus Jadi Pemuzik Jalanan

Edry menjelaskan persembahan bertenaga Azmi adalah pendedahan terbaik untuk kumpulan Caliph Buskers.

KUMPULAN Caliph Buskers yang cacat penglihatan akan terus menjadi pemuzik jalanan biarpun nama mereka melonjak popular selepas memenangi Persembahan Terbaik dalam AJL 29 Ahad lalu.

Ketua kumpulannya iaitu Khairul Azmi Saat atau Azmi, 28, berkata, dia tidak mahu menggunakan alasan kerana kejayaan itu untuk meninggalkan rutin harian berkenaan sebaliknya berpegang kepada cinta mendalam terhadap bidang muzik jalanan.

"Tiada sebarang sebab untuk tinggalkan persembahan 'basking' dan kami akan teruskan aktiviti macam biasa kerana muzik adalah jiwa kami.

"Malah kami berharap bakat yang ada dapat dikongsi dengan orang lain dan cuma berharap masyarakat akan terus memberi sokongan kepada pemuzik seperti kami," katanya kepada mStar Online.

Persembahan bertenaga Caliph Buskers bersama Mojo pada malam kemuncak AJL 29 menerusi lagu Romancinta telah membawa tuah apabila mereka dipilih sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik.

kemantapan vokal Azmi menggamatkan stadium Putra Bukit Jalil pada malam Ahad.

Selain Azmi, Caliph Buskers turut dianggotai oleh Fendy Alun, 24; Mohd. Zaki Ismail, 36; Nirwan Zainal Abidin, 26; Nor Nadira Rubiana, 24; dan Syahzmeen Abdul Rahman, 24.

Persembahan mereka yang cacat penglihatan mendapat sambutan di luar jangkaan apabila kebanyakan penonton memuji persembahan berkenaan yang dianggap hebat dan luar biasa.

Mereka sering kali mengadakan persembahan di kaki lima Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Dalam pada itu, Azmi teruja dengan pelawaan Edry Abdul Halim mewakili syarikat rakaman KRU Music yang ingin menghasilkan single pertama mereka selepas ini.

Jelas Azmi, mereka berenam sudah lama berhasrat untuk merakamkan lagu sendiri dan dia menyifatkan peluang itu seperti mimpi menjadi kenyataan.

"Langsung tidak sangka Edry sudi menghasilkan sebuah lagu untuk kami dan Insya-Allah peluang dan kepercayaan itu akan digunakan sebaik-baiknya," ujarnya.

Bercerita mengenai pengalaman mengadakan persembahan di pentas AJL 29, Azmi berkata, pada awalnya mereka tidak percaya apabila Edry meminta menyampaikan lagu Romancinta kerana dia bukan seorang penyanyi profesional.

Kata Azmi, perasaan gemuruh ketika mengadakan persembahan cukup menebal dalam dirinya namun sokongan daripada penonton menaikkan semangatnya dan ahli kumpulan lain.

Mojo dan Caliph Basker membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM12,000 berserta trofi.

"Saya tidak pernah terfikir untuk membuat persembahan di pentas AJL malah ketika Edry membuat pelawaan itu saya tidak percaya dan menganggap ia gurauan.

"Ini kerana saya bukan seorang penyanyi profesional dan rasanya tidak layak untuk berada di pentas berprestij itu. Ia pengalaman luar biasa," katanya yang pernah bertugas sebagai tukang urut di Hospital Tun Hussein Onn dekat sini sebelum ini.

Sementara itu, Edry ketika ditemui berkata, beberapa kejadian melibatkan Mojo sebelum ini meninggalkan hikmah cukup besar kepada mereka semua dan menganggap kemenangan itu sebagai rezeki daripada Allah.

Malah kata Edry, penampilan Caliph Busker adalah pendedahan yang cukup baik kerana tidak ramai mengetahui mengenai bakat luar biasa dimiliki kumpulan itu.

"Sebelum meminta mereka menyanyikan lagu itu saya sendiri pergi menonton persembahan mereka di Jalan Tunku Abdul Rahman dan lihat mereka mempunyai bakat cukup besar.

"Alhamdulillah kemunculan mereka diterima cukup baik dan ini baharu satu permulaan buat mereka dan Insya-Allah ada perkara baik lain akan menyusul," katanya.

Caliph Buskers, Mojo.

Artikel Sebelum

Artikel Lain