PETALING JAYA: Pelakon drama bersiri Istikarah Cinta, Harris Alif mengambil keputusan untuk meneruskan pelajarannya di tingkatan empat secara 'home schooling' (pembelajaran di rumah) bermula awal tahun ini. Harris atau nama sebenarnya Nor Harris Alif Nor Rashidi, 16, berkata, dia memilih untuk belajar dari rumah kerana menyedari tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya jika belajar di sekolah biasa ekoran aktiviti lakonan dan nyanyiannya yang padat. "Jika saya terus bersekolah di sekolah biasa pasti pembelajaran saya terganggu kerana terpaksa ponteng sekolah selain akan menyusahkan banyak pihak dan sebab itu saya pilih 'home schooling'. "Biarpun ramai yang tidak menggunakan kaedah ini ia sebenarnya lebih fleksibel mengikut jadual saya dan akan ada guru datang ke rumah untuk mengajar," katanya kepada mStar Online. Harris yang juga juara program Idola Kecil 3 pada 2010 sebelum ini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desa Minium, Seri Kembangan dekat sini sehingga tingkatan tiga. Harris Alif mula terkenal selepas menjuarai Idola Kecil musim ketiga pada tahun 2010 Dalam pada itu, Harris berkata, ibu bapa menyokong tindakannya itu dengan syarat dia perlu memastikan mengikut dan memberi tumpuan kepada pembelajaran di rumah. Malah dia memilih untuk mengikut program pembelajaran dari sebuah sekolah antarabangsa iaitu Alice Smith School. "Bukan bererti saya tinggalkan sekolah saya tidak pentingkan pelajaran dan sebab itu saya pilih untuk belajar dari rumah dan guru akan datang sebanyak tiga kali seminggu dengan masa tertentu," katanya. Sementara itu, Harris berkata, dia tidak pernah menyangka akan aktif sebagai pelakon memandangkan dia bermula sebagai penyanyi. Namun dia terbuka untuk mencuba apabila diberi peluang dan mengakui semakin selesa berada di set penggambaran. "Saya masih baharu sebagai pelakon dan tidak sangka banyak diberi peluang dan diberi pelbagai peranan. "Pun begitu saya tidak cepat selesa kerana masih banyak perlu dipelajari untuk menjadi lebih baik pada masa hadapan," katanya. Bagaimanapun kata Harris, dia tidak pernah melupakan bidang nyanyian dan memberitahu akan muncul dengan single terbaharu pada tahun ini. "Nyanyian masih cinta pertama saya walaupun kini saya dilihat lebih ke depan sebagai pelakon dan Insya-Allah saya akan muncul dengan single terbaharu," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Harris kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Emma Emiliana musim ketiga dan selain program Ci Ca Ca untuk Astro Ceria.