suria

Zamani Maafkan Individu Rakam, Sebar Videonya Dipaksa Menyanyi

AMPANG: Penyanyi Zamani (Slam) sudah memaafkan individu yang merakamkan gambarnya dipaksa menyanyi dengan keadaan tangan bergari sehingga video berkenaan tersebar kepada umum.

Abangnya Zulfazil Ibrahim, 50, berkata, perkara itu disampaikan sendiri oleh Zamani. 44, ketika mereka bertemu itu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini, Jumaat.

"Zamani beritahu dia memaafkan individu yang melakukan video tersebut dan tidak mahu perkara itu dipanjangkan lagi.

"Dia juga meminta supaya tidak perlu diambil sebarang tindakan terhadap individu itu," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Jumaat.

Sila Klik: POLIS TAK BERTOLAK ANSUR ANGGOTA RAKAM KLIP VIDEO ZAMANI

Zulfazil berkata demikian pada sidang media berkaitan penyebaran video Zamani yang menjadi viral sehingga pelbagai pihak mencemuh individu yang merakam dan menyebarkannya.

Sidang media berkenaan diadakan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya, di sini, pada Jumaat.

Dari kiri: Ahmad Zaharil Muhaiyar, Johan Aziz, Freddie Fernandez, Zulfazli Ibrahim dan Aizul Rohan Anwar bersama seorang awam di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, pada Jumaat.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez dan pengurus penyanyi itu, Johan Aziz.

Tambah Zulfazil, dia memuji tindakan Zamani kerana sanggup memaafkan individu yang mengaibkannya dan keluarga mereka.

"Saya puji tindakan Zamani yang sanggup memaafkan mereka yang menjatuhkan maruahnya walaupun dia sendiri dalam keadaan tertekan.

"Saya harap umum juga dapat memaafkan apa yang dia lakukan dan beri peluang kedua kepada Zamani," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang penerimaan keluarga terhadap penangkapan penyanyi itu dan video yang tersebar, Zulfazil berkata, mereka akan tetap memberi sokongan kepada Zamani.

"Apa yang berlaku sudah pun berlaku dan sudah tentu keluarga masih dalam keadaan terkejut.

"Namun kita tetap menerima dan memberi sokongan kepada dia. Fokus sekarang ialah bagaimana untuk membantu dia pulih daripada gejala ini (dadah)," ujarnya.

Terdahulu media meloporkan seorang penyanyi 1990-an dan teman wanitanya ditahan polis kerana dipercayai memiliki dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Keramat dekat sini awal pagi Rabu lalu.

Serbuan pada pukul 12.30 malam itu dilakukan oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang itu telah menemui satu bungkusan plastik disyaki heroin seberat kira-kira 1.2 gram di dalam sebuah bilik.

Ujian air kencing mendapati penyanyi berkenaan positif dadah jenis morfin manakala teman wanitanya berusia 32 tahun positif dadah amphetamine.

Dalam pada itu Karyawan melantik peguam Aizul Rohan Anwar manakala keluarga Zamani pula melantik Ahmad Zaharil Muhaiyar yang akan bekerjasama bagi mengendalikan kes berkenaan.

Ahmad Zaharil berkata, mereka sudah bersedia untuk mewakili penyanyi itu dan melihat kes tersebut mempunyai peluang cerah.

"Tadi saya berpeluang berjumpa dia dan keadaan dia baik serta tiada cacat-celanya.

"Bagi saya yang dituduh tidak semesti bersalah, buat masa ini saya tidak boleh beritahu maklumat terperinci tetapi it’s a good fight," ujarnya.

Zamani akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada  27 Januari ini.

Sementara itu Johan dalam status terkini di Facebook milikny berkata, Zamani akan dibebaskan pada Sabtu dengan jaminan polis.

"Alhamdulillah syukur kehadrat Allah. InsyaAllah esok (Sabtu)  Zamani akan dibebaskan dengan jaminan polis. Terima Kasih atas sokongan semua," katanya.
Zamani

Artikel Lain