PETALING JAYA: Pelakon Sherry Ibrahim memberitahu hasrat menjadi penyanyi berkubur apabila mengambil keputusan keluar daripada syarikat pengurusannya Laugh Out Loud (LOL) Entertaiment. Sherry, 32, berkata, ia adalah kerana tiga buah lagu yang dirakam tahun lalu adalah ketika dia berada di bawah pengurusan tersebut. "Saya sudah rakam tiga buah lagu tahun lepas dengan LOL, namun lepas keluar daripada syarikat itu saya anggap tiada rezeki sahaja. "Namun, ia tidak bermakna saya putus asa untuk mencuba nasib dalam bidang nyanyian," ujarnya kepada mStar Online. Kata Sherry, pada asalnya dia mahu memasuki industri hiburan sebagai penyanyi dan banyak menyertai pertandingan nyanyian. Bagaimanapun, kata Sherry terlalu banyak halangan untuk dia mengejar cita-cita itu. "Sejak belasan tahun lagi saya memang ingin cuba masuk dalam bidang nyanyian. Namun nasib tidak menyebelahi kerana banyak sangat halangannya," ujarnya. Dalam pada itu, mengulas tentang keputusan keluar daripada syarikat pengurusan milik penyanyi Dafi itu, Sherry berkata terjadi dalam keadaan baik. Katanya, Dafi dan rakan kongsinya Afiq tidak mempunyai sebarang masalah untuk melepaskannya mengerakkan kerjaya secara sendiri. "Sekarang saya sudah ambil keputusan untuk bergerak secara sendirian tanpa diuruskan oleh mana-mana pengurusan artis. Saya yakin keputusan itu baik untuk diri dan kerjaya saya. "Bagi saya ia bergantung kepada pendirian setiap individu, kalau mereka selesa dengan pengurusan artis maka tidak salah pun untuk mengunakan khidmat tersebut kerana lebih memudahkan untuk laksana pelbagai urusan," ujarnya. Dalam perkembagan lain, Sherry baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama 60 episod yang bertajuk Keluarga Karaoke yang turut dibintangi oleh Raja Ema dan Elyana.