suria

Semakin Dilupakan, Sahri (AF1) Anggap Ia Satu Kitaran

Sahri sudah pun menamatkan pengajiannya di Universiti Lim Kok Wing pada tahun lalu.

PETALING JAYA: Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim pertama (AF1) Sahri tidak pernah berasa terkilan apabila namanya semakin dilupakan dan menganggap perkara itu sebagai kitaran biasa sebagai seorang penyanyi.

Sahri atau nama sebenarnya Sahri Sarip, 35, bagaimanapun berkata, walaupun dilihat sepi daripada sebarang publisiti namun dia memberitahu masih menerima undangan nyanyian biarpun tidak serancak dahulu.

"Tidak ada apa yang buatkan saya terkilan kerana ia tidak pernah melemahkan semangat saya dan situasi itu adalah kitaran biasa bagi seorang penyanyi.

"Alhamdulillah saya masih menerima undangan nyanyian cuma ia kurang diberi publisiti," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Sahri berkata, keputusannya menyambung pengajian dalam bidang produksi muzik di Universiti Lim Kok Wing pada 2011 adalah salah satu strategi untuk dia terus kekal dalam industri.

Jelas Sahri, keputusan untuk berbuat demikian adalah tepat kerana sepanjang tiga tahun pengajian dia mendapat pelbagai ilmu tentang produksi muzik dan akan mempraktikkan sekiranya dia tidak lagi menyanyi selepas ini.

"Alhamdulillah saya sudah pun menamatkan pengajian saya selama tiga tahun dan kini bertugas di sebuah syarikat produksi untuk mempraktikkan dan menimba pengalaman tentang selok belok produksi muzik.

"Ilmu adalah bekalan dan jaminan saya untuk terus berada di dalam industri muzik biarpun secara belakang tabir kerana bidang ini sangat saya minati," katanya.

Sementara itu, Sahri berkata, dia kini dalam proses menyiapkan single terbaharunya yang dijangka akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini.

Jelas Sahri, lagu yang masih belum diberi judul itu dihasilkannya sendiri dan memberitahu dia bertuah apabila mendapat tajaan untuk menghasilkan single berkenaan.

"Apa yang saya pelajari selama tiga tahun di universiti saya gunakan sebaiknya untuk menghasilkan single terbaharu ini dan harap-harap pendengar akan menyukainya.

"Saya juga cukup bertuah kerana ada pihak yang memberikan kepercayaan kepada bakat saya sebagai penyanyi dan komposer sehingga sanggup membuat pelaburan dalam menghasilkan lagu berkenaan," katanya.

Sahri, AF1.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain