PETALING JAYA: Pelakon Linda Rafar terkilan dengan sikap segelintir pihak yang menuduhnya riak apabila memuat naik gambar sekeping cek bernilai RM15,000 yang diterima daripada Mawar Abdul Karim yang juga anak pengasas tudung jenama Fareeda kerana mengadakan kerjasama dengan mereka baru-baru ini. Linda atau nama sebenarnya Azlinda Abdul Rafar, 37, berkata, dia tidak mempunyai sebarang niat tidak baik seperti mana didakwa sebaliknya hanya ingin melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada pihak Fareeda. "Kebetulan hari tersebut adalah hari jadi saya dan saya memuat naik gambar cek berkenaan semata-mata ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak tersebut kerana terlalu gembira dapat hadiah. "Tiada niat untuk bersikap riak hanya ingin menghargai pihak yang memberi hadiah kepada saya. Itu sahaja," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat. Tambah Linda, dia sudah menjangkakan ada pihak tidak berpuas hati dengan tindakannya itu namun memberitahu dia tidak dapat memuaskan hati semua pihak. "Sebelum saya memuat naik gambar tersebut jujurnya saya sendiri ada terfikir akan ada pihak yang kurang senang dengan perkara itu tetapi saya hanya manusia biasa dan tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Gambar cek yang dimuat naik Linda ke laman Instagram miliknya. "Tetapi saya teruskan kerana saya tahu niat sebenar saya dan itu sudah memadai," ujarnya. Dalam pada itu, Linda berkata, kritikan negatif terhadap isu tersebut harus dihentikan selain meminta semua pihak agar bersangka baik atas niat orang lain dalam sesuatu perkara. Jelas Linda, perbuatan tersebut tidak mendatangkan sebarang faedah selain menyifatkan ia dilakukan individu yang kurang berpendidikan. "Tidak patut sesiapa yang mengeluarkan kata-kata negatif itu berbuat demikian kerana jelas menunjukkan tahap ilmu agama dan barangkali tidak berpelajaran. "Jika betul saya hendak menunjuk lebih baik saya muat naik cek bernilai RM200,000 atau pun RM300,000. Saya tidak faham kenapa saya dijadikan sasaran sedangkan ia hanya perkara kecil. "Pesan saya kepada orang-orang sebegini, bersangka baiklah terhadap niat orang lain. Jangan tanam perasaan suka bersangka buruk terhadap orang lain," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Linda berkata, penampilan khasnya bersama Fareeda bukan sebagai duta sebaliknya adalah kerjasama secara eksklusif dalam mempromosikan produk terbaharu jenama tudung terkenal itu. Jelas Linda, pihak Fareeda telah mereka tudung khas untuknya dan ia hanya akan dijual secara terhad iaitu sebanyak 1,000 helai kepada pelanggan mulai Jumaat. "Alhamdulillah saya adalah artis pertama yang bekerjasama dengan Fareeda untuk mempromosikan rangkaian terbaharu tudung dan Insya-Allah kerjasama ini tidak akan terhenti di sini dan akan ada koleksi lain pada masa akan datang," katanya.