KUALA TERENGGANU: Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Terengganu melantik usahawan yang juga artis popular Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, sebagai Duta Muhibbah Kehormat PBSM negeri itu. Ia adalah langkah yang diambil untuk menarik penyertaan belia menerusi kempen pendaftaran sukarelawan dengan sasaran 1,000 belia bagi menjalankan lebih banyak kerja amal di lapangan. Pengerusi PBSM Kuala Terengganu Badrol Hisham Zaki berkata, pelantikan Ummi Nazeera itu adalah bertepatan dengan keprihatinannya dengan nasib malang yang menimpa mangsa banjir di negeri ini akhir tahun lepas. "Sebagai artis dan usahawan, penglibatan beliau dalam kerja amal adalah sesuatu yang patut dicontohi oleh generasi muda dan PBSM Terengganu sangat optimis pelantikan ini akan memberi impak positif untuk belia di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis itu, di sini, Isnin. Pada majlis itu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud, syarikat milik Ummi Nazeera iaitu Pointray (M) Sdn Bhd turut menyumbang barangan keperluan mangsa banjir di Terengganu sebanyak RM200,000. Sementara itu, Ummi Nazeera yang juga Pengarah Eksekutif Pointray juga berazam mahu melakukan lebih banyak kerja amal selepas ini dan menarik golongan belia, khususnya usahawan untuk bersama-sama turun padang membantu golongan kurang bernasib baik. "Sebelum ini, syarikat kami telah pergi ke Bukit Besi di Dungun yang terjejas teruk akibat banjir dan aktiviti gotong royong itu turut melibatkan peserta program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube).