suria

Lisa Surihani Enggan Ulas, Yusry Beri Bayangan Spekulasi Anak Kembar

Lisa Surihani minta peminat doakan terbaik buat kandungannya.

PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani enggan mengulas dakwaan kononnya dia bakal mendapat cahaya mata kembar dan meminta orang ramai mendoakan perkara baik terhadap kandungannya itu.

Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed, 29, berkata, dia menerima rezeki ditetapkan oleh Allah sebagai rezeki dalam rumah tangga yang dibina selama tiga tahun itu.

"Kalau betul Alhamdulillah tapi kenyataan itu bukan saya yang buat, bagi pihak saya lebih baik kami tidak umumkan apa-apa.

"Saya terima apa juga yang Allah kurniakan dan saya harap orang ramai juga mendoakan yang baik-baik untuk kami," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Isnin.

Lisa berkata demikian ketika diminta mengulas tentang spekulasi bakal melahirkan cahaya mata kembar yang dilaporkan oleh sebuah berita minggu, pada Ahad.

Bagaimanapun, Lisa mengakui mempunyai keturunan yang dilahirkan secara kembar termasuk dirinya.

"Saya dilahirkan sebagai kembar, begitu juga ayah dan sepupu saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Lisa turut meminta semua pihak memberi ruang kepada dia dan suaminya, Yusry Abdul Halim untuk merahsiakan perkara tersebut sebagai privasi untuk keluarga mereka.

Kata Lisa, suaminya ada memuat naik gambar di laman sosial Instagram dan memberi bayangan terhadap spekulasi itu.

"Saya harap semua orang hormati keputusan kita, jika saya tidak mahu berkongsi tentang sesuatu sudah pasti ada sebab tertentu dan masa yang tidak sesuai.

"Tapi saya rasa Yusry ada bagi hint dalam Instagram dia semalam tentang perkara ini," ujarnya.



Yusry memuat naik gambar dengan kapsyen memberitahu bahawa mereka akan menyambut ulang tahun perkahwinan tahun depan bertiga.

Sementara itu, Yusry pada malam Ahad memuat naik gambar mereka bersama dengan status bahawa akan menyambut ulang tahun keempat pada tahun hadapan secara bertiga.

Pasangan tersebut menyambut ulang tahun perkahwinan ketiga pada Isnin 23 Februari 2015.

"Alhamdulillah, tiga tahu berlalu. Sayang menjadikan saya seorang yang lebih baik. Saya tahu Allah mencipta seseorang untuk saya berkongsi kasih sayang.

"Kamu memberi kebahagian dalam hidup saya, tiada seminit pun setiap hari saya tidak memikirkan tentang kamu. Insyaallah, ulang tahun perkahwinan pada tahun depan kita sambut bertiga," tulisnya.

Lisa Surihani, Yusry Abdul Halim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain