suria

Video Ugut Serang Mahkamah: Nora Danish Takut Keluar Rumah

Nora Danish mengakui takut untuk keluar rumah selepas kejadian penyebaran video yang mengeksploitasi wajahnya baru-baru ini.

PETALING JAYA: Pelakon Nora Danish mengakui kejadian penyebaran video yang mengeksploitasi wajahnya, dipercayai didalangi kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Anak Muda Malaysia baru-baru ini membuatkannya berasa takut untuk keluar rumah.

Nora berkata, sejak kejadian itu dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah sekiranya tiada sebarang urusan penting dan hanya akan keluar ditemani oleh ahli keluarga atau pun teman rapatnya.

"Kes itu memang menakutkan sehingga saya berasa takut untuk keluar rumah dan sekiranya perlu berbuat demikian saya akan pastikan ada orang menemani saya.

"Atas sebab itu juga saya buat laporan polis tempoh hari kerana bimbangkan keselamatan diri saya," katanya kepada mStar Online.

Nora ditemui pada acara Anugerah MeleTOP Era 2015 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil dekat sini pada malam Ahad lalu.

Pada majlis itu Nora turut ditemani oleh beberapa pengawal yang disediakan oleh pihak Astro untuk mengiringinya masuk ke dalam dewan.

Menerusi video berdurasi kira-kira seminit itu, kelihatan empat lelaki berbaju hitam dan menutup muka mengancam untuk menyerang mahkamah pada 18 Februari ini pada pukul 11.30 malam.

Mereka memberitahu akan membakar bunga api sebagai bantahan terhadap sistem keadilan negara.

Dalam pada itu, bercakap mengenai perkembangan kes berkenaan, Nora berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

Bagaimanapun kata Nora, dia sentiasa mengikuti perkembangan kes berkenaan dan berasa lega apabila mendapat tahu pihak berkuasa melakukan penahanan terhadap beberapa individu berhubung penyebaran video tersebut.

"Paling penting saya sudah membuat laporan polis dan setakat ini tiada perkembangan baharu yang saya dengar melainkan ada membaca laporan pihak berkuasa ada menahan beberapa individu yang dipercayai menyebarkan video berkenaan di internet.

"Selebihnya saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan memandangkan ia bukan satu isu yang kecil," ujarnya.

Nora Danish.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain