suria

Bakat Allahyarham Harun Salim Bachik Tiada Ganti

Afdlin memberi penghormatan terakhir mneyiram pusara sahabat baiknya.

KUALA LUMPUR: Pemergian pelawak Allahyarham Harun Salim Bachik, 55, diibaratkan sebagai kehilangan sebutir permata buat industri seni tanah air.

Rata-rata rakan artis menganggap bakat istimewa yang dimiliki Allahyarham tidak boleh digantikan dengan mana-mana pelawak lain.

Rakan artis yang juga teman baiknya, Afdlin Shauki berkata, Allahyarham merupakan satu-satunya pelawak yang mampu mengekalkan tahap releven hingga pada zaman ini, biarpun sudah bergitu lama berada dalam industri.

"Bagi saya pemergian Allahyarham adalah sebuah kehilangan yang sangat besar dan saya boleh katakan hanya dia sahaja yang mampu bertahan dan releven biarpun sudah berdekat lamanya penampilan beliau dalam industri.

"Nama dia masih terus berada sebaris dengan pelawak tanah air walaupun rakan artis seangkatannya sudah ramai yang bersara dan lawak-lawak arwah masih diterima umum," ujarnya kepada mStar Online.

Afdlin ditemui selepas upacara pengebumian yang diadakan di Tanah Pekuburan Islam Al Raudhah Sakinan, Batu Muda, Batu Caves, dekat sini, Isnin.

Harun Salim Bachik menghembuskan nafas terakhir selepas rebah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol di Bukit Merah, Perak, petang Ahad.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al Raudhah, Batu Muda, Batu Caves, dekat sini, kira-kira pukul 11 pagi Isnin selepas disembahyangkan di Surau Al Mutmainnah Jalan Pandan Perdana 8/1.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Surianti Mohd Nor, enam orang anak dan tiga orang cucu.

Tambah Afdlin, dia mengenali Allahyarham sebagai seorang sahabat yang sangat penyabar dan tenang dalam menghadapi pelbagai dugaan.

Katanya, arwah juga seorang yang gemar menyimpan apa juga masalahnya sendiri daripada berkongsi dengan rakan-rakan sekeliling.

"Dia seorang yang tenang sahaja, malah jika dia ada masalah sekalipun dia tidak mahu berkongsi dengan kami. Kadang-kadang saya paksa dia untuk berkongsi masalah itu," ujarnya.

Sementara itu, penerbit dan pelakon Hans Isaac menganggap Allahyarham sebagai pelakon kegemarannya yang sentiasa ada pada setiap drama dan filem terbitan syarikatnya.

Kata Hans, arwah merupakan nadi kepada komedi dalam setiap drama serta filem yang diterbitkannya.

"Dia tiada pengganti dan setiap drama serta filem saya semuanya ada dia kerana abang Harun merupakan pelakon kegemaran saya.

"Pada saya, dia menjadi pemantau dan garis panduan kepada cerita-cerita saya. Dia juga tidak pernah menolak setiap tawaran yang saya beri," ujarnya.

Tambah Hans, dia terkilan Allahyarham tidak dapat menjayakan projek teater Baik Punya Cilok yang bakal diadakan pada 25 April hingga 1 Mei depan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Katanya, watak dan karakter Allahyarham dalam filem Baik Punya Cilok itu tidak boleh digantikan dengan mana-mana pelakon.

"Saya baru mempelawa dia untuk bersama kami menjayakan teater Baik Punya Cilok dan dia beritahu sangat gembira untuk memulakan latihan bersama kami minggu depan.

"Sejujurnya, saya sendiri rasa kurang bersemangat untuk memulakan latihan selepas pemergiannya dan kami mungkin akan buat tribute khas untuk dia pada malam pementasan itu," ujarnya.

Sementara itu, Hans berkata, dia menghentikan promosi untuk teater Baik Punya Cilok selama tiga hari bagi menghormati pemergian Allahyarham.

Dalam pada itu, penyanyi Awie menyifatkan Allahyarham seorang yang mempunyai sikap kesabaran yang tinggi dan tidak penah marah.

Katanya, arwah juga tidak pernah menunjukkan kesakitan dan bercerita tentang penyakit yang dialaminya dengan rakan-rakan lain.

"Dia seorang yang sangat tenang dan tidak pernah saya nampak dia melenting atau meninggikan suara kepada orang lain.

"Walaupun kita tahu, dia ada asma tapi dia tidak pernah menunjukkan yang dia sakit, malah sedikit pun tidak pernah bercerita kepada kami tentang penyakit tersebut," ujarnya.

Tambah Awie, Allahyarham juga merupakan seorang yang boleh dianggap sebagai lagenda kerana lawak yang dilakukan tidak sama seperti pelawak lain.

Dia turut mengakui merupakan salah seorang kepada peminat Allahyarham.

Artikel Lain