suria

Rozana Misbun Takut Beri Keterangan Kes Pukul

Rozana Misbun takut untuk memberi keterangan di dalam kandang saksi pada perbicaraan kes penyanyi itu yang didakwa mencederakannya pada 2 Jun tahun lalu.

AMPANG: Isteri kepada vokalis kumpulan Wings, Awie iaitu Rozana Misbun mendakwa takut untuk memberi keterangan di dalam kandang saksi pada perbicaraan kes penyanyi itu yang didakwa mencederakannya pada 2 Jun tahun lalu.

Rozana, 36, selaku pengadu kes berkenaan memaklumkan perkara itu kepada Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene pada hari keempat perbicaraan di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Sehubungan dengan itu, Ai Rene membuat permohonan secara lisan di hadapan Majistret Ayuni Izatty Sulaiman agar keterangan Rozana dibuat secara sidang video.

"Pengadu takut untuk memberikan keterangan di mahkamah dan permohonan ini sama sekali tidak memprejudiskan mana-mana pihak," katanya.

Permohonan itu dibuat pihak pendakwaan mengikut Seksyen 272 (B) Kanun Tata Cara Jenayah.

Seksyen 272B kanun itu membolehkan seseorang saksi dalam perbicaraan untuk memberikan keterangan melalui rakaman video atau secara langsung melalui siaran video atau televisyen.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Awie, Hazman Harun membantah permohonan tersebut dan meminta agar satu permohonan bertulis dibuat kepada mahkamah berhubung isu itu.

Jelas Hazman, pihaknya tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara itu selain membolehkan kedua-dua belah pihak bersedia dengan nas dan undang-undang bagi membolehkam mahkamah membuat keputusan permohonan secara adil.

Ayuni membenarkan bantahan tersebut dan meminta satu permohonan bertulis dikemukakan pihak pendakwaan pada 27 Mac ini.

Keputusan permohonan dan sambung bicara itu akan dibuat pada 22 April depan.

Sementara itu, Rozana sepatutnya tampil ke mahkamah untuk memberikan keterangan selepas tidak dapat berbuat demikian pada hari ketiga perbicaraan pada Rabu lalu.

Kelibat wanita itu dilihat berada di mahkamah seawal 11 pagi sebelum dilihat pulang kira-kira pukul 4 petang.

Mengikut pertuduhan, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rozana pada 2 Jun tahun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana Hulu Kelang di sini.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Rozana Misbun, Awie

Artikel Lain