suria

Isteri Dedah Sikap Romantik Amir (Raja Lawak)

Pasangan ini sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz.

SUNGAI BULOH: Isteri kepada pelawak Amir (Raja Lawak) iaitu Nur Intan Syafinaz Shaari mendedahkan sikap romantik suaminya telah membuatkan dia jatuh cinta dan selesa bersama lelaki itu.

Nur Intan, 21, berkata, hadiah sejambak bunga ros yang diberikan Amir kira-kira dua tahun lalu ketika ingin melamarnya sebagai kekasih menjadi memori paling berharga buatnya.

"Ramai yang tidak tahu Amir sebenarnya seorang romantik disebalik sikap selamba dan lucu yang ada padanya.

"Paling memberi kesan dihati saya semasa kami berkunjung ke Port Dickson dan dia tiba-tiba membawa sejambak bunga dan suasana ketika itu sangat romantik," katanya.

Terdahulu, pasangan itu sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di kediaman Nur Intan di Kampung Gajah, Sungai Buloh pada petang Sabtu.

Amir atau nama sebenanrnya, Mohammad Amirullah Azmi, 27, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 manakala RM13,000 sebagai wang hantaran.

Akad nikah itu disempurnakan oleh Jurunikah Masjid Kampung Gajah Sungai Buloh, Mahmud Ahmad dan berwakil walikan bapa pengantin perempuan, Shaari Sabri.

Dalam pada itu, Amir berkata, dia berasa bersyukur dapat memperisterikan Nur Intan dan menyifatkan dirinya bertuah kerana wanita berkenaan sangat memahami dirinya secara peribadi dan profesional.

Jelas Amir, isterinya itu sangat memahami kerjayanya sebagai pelawak dan sentiasa menjadi pendorongnya untuk lebih berjaya pada masa hadapan.

"Sepanjang kami berkawan dan bercinta dialah yang banyak beri semangat kepada saya dan begitu memahami saya.

"Saya harap perkahwinan ini akan berkekalan sampai akhir hayat kami berdua," katanya. 

Sementara itu, Amir berkata, selepas ini dia akan menetap di rumah mertuanya buat sementara waktu sebelum mencari tempat tinggal sesuai untuk mereka memulakan kehidupan sebagai suami isteri.

Jelas Amir, dia juga berharap akan segera menimang cahaya mata sebagai pelengkap kepada rumah tangga mereka. 

"Perkahwinan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk memperbaiki diri dan berusaha untuk membahagiakan orang yang saya sayangi," jelasnya yang merancang membawa isterinya berbulan madu destinasi dalam negara.

Dalam perkembangan lain, pasangan itu akan diraikan dalam satu majlis resepsi pada Ahad (hari ini) di rumah pihak perempuan sebelum mengadakan majlis sama di Kelantan.

Amir Raja Lawak.

Artikel Lain