suria

Tuduhan Tidak Berdisiplin Calarkan Nama Miera Leyana

Miera terkilan apabila dituduh tidak berdisiplin dan sering menimbulkan masalah di lokasi penggambaran.

PETALING JAYA: Pelakon Miera Leyana menganggap tuduhan kononnya dia tidak berdisiplin ketika menjayakan penggambaran sebuah drama bersiri mampu mencalarkan imejnya sebagai seorang artis.

Miera, 22, berkata, dakwaan berkenaan tidak adil buat dirinya kerana ia mampu memberi impak terhadap kerjayanya sekiranya ia dibaca oleh penerbit atau produksi lain tanpa mengetahui kisah sebenar.

"Sebelum ini saya tidak ambil hati jika ada cerita gosip mengenai saya ditulis tetapi apabila ia melibatkan soal kerja saya rasa ia melampau dan tidak adil tanpa bertanya sendiri kepada saya terlebih dahulu.

"Ini adalah periuk nasi saya, bayangkan kalau ada penerbit atau produksi membaca cerita itu sudah pasti pandangan mereka terhadap saya berubah walaupun saya tidak melakukan sebarang kesalahan," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.

Miera mengulas mengenai gosip kononnya dia sering datang lewat dan menimbulkan masalah selain memberikan pelbagai alasan tidak munasabah ketika menjalani penggambaran sebuah drama bersiri.

Tambahnya, sekiranya benar dia bersikap sedemikian dia yakin kerjaya lakonannya sudah lama terkubur dan dia pertama kali mendengar dakwaan seperti itu.

"Saya sudah berlakon dengan pelbagai produksi dan Alhamdulillah setakat ini belum lagi timbul isu disiplin seperti mana dakwaan pihak tersebut.

Miera mahu memberikan fokus kepada karier lakonannya.

"Bukan hendak kata saya seorang manusia sempurna tetapi saya cuba memberikan komitmen terbaik dalam melunaskan tanggungjawab diberikan," ujarnya.

Dalam pada itu, Miera mengakui dia tidak menghadiri satu sesi fotografi bersama barisan pelakon drama berkenaan dan masalah alahan pada kulit menjadi punca kepada perkara itu.

Bagaimanapun kata Miera, dia terlebih dahulu memaklumkan perkara tersebut kepada pihak produksi dan mereka memahami situasinya dan membenarkannya tidak hadir pada sesi fotografi itu.

"Saya bukan cuba cipta alasan tetapi kulit wajah saya memang tengah teruk ketika itu dan pihak produksi juga mengetahui mengenainya dan membenarkan saya menarik diri daripada sesi fotografi berkenaan.

"Sekarang lain pula ceritanya kononnya saya sengaja mencipta alasan wahal mereka tahu perkara sebenarnya. Sekiranya mereka tetap mahu saya pergi ke sesi fotografi itu, saya pasti datang," katanya.

Sementara itu, bercakap soal peribadi, Miera berkata, dia kini tidak mempunyai masa untuk memikirkan soal berkenaan kerana terlalu sibuk dengan karier lakonannya.

Jelas Miera lagi, dia tidak terdesak atau tertekan untuk mencari teman hidup memandangkan usianya yang masih muda.

"Kehidupan saya kini tertumpu kepada kerja dan sekarang bukan masanya untuk mencari teman lelaki. Lagipun usia saya masih muda dan lebih baik saya fokus kepada kerjaya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Miera berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri berjudul Memori Cinta Suraya sebanyak 140 episod.

Drama terbitan Global Station itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Afiq Muiz, Hisyam Hamid dan Anzalna Nasir.

Miera Leyana.

Artikel Lain