PETALING JAYA: Penyanyi Kaka Azraff tidak muncul pada majlis berinai pelakon Sharifah Sakinah pada 21 Mac lalu bukan kerana mahu mengelak bertemu Tasha Shilla selepas dia dikatakan merampas kekasih wanita itu. Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 26, sebaliknya berkata, dia terikat dengan penggambaran drama berjudul Dunia Generasi Baru. "Bukan saya tidak mahu datang tetapi ketika majlis itu berlangsung saya sedang menjalani penggambaran drama. Bukan majlis itu sahaja, majlis resepsi Hanez Suraya pun saya tidak dapat datang. "Saya tidak pernah berniat untuk mengelak daripada siapa pun termasuk Tasha Shilla kerana saya tahu bahawa saya tidak bersalah dalam hubungan mereka," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Bukan Hal Aku, di pejabat Warner Music, di sini, Selasa. Kaka diminta mengulas tentang ketidakhadirannya pada majlis malam berinai Sharifah Sakinah pada Sabtu lalu selepas timbul gosip dia bimbang berjumpa Tasha Shilla kerana merampas kekasih wanita itu, Hans Wong. Kaka Azraff (tengah) muncul dengan single terbaharu bersama kumpulan Sleeq. Kaka dan Tasha Shilla merupakan antara rakan baik yang pernah mengikut Sharifah Sakinah bercuti di Bali bagi meraikan pesta ‘Bridal Shower’ pelakon itu pada Januari lalu. Khabar angin sebelum ini mengatakan Kaka menjadi punca hubungan percintaan Tasha Shilla dan kekasihnya Hans berantakan. Dalam pada itu, Kaka memberitahu dia enggan mengulas panjang tentang gosip tersebut berikutan ia adalah satu fitnah yang berat buat dirinya. "Saya tidak mahu cakap banyak tentang perkara itu dan biar Hans dan Tasha yang buka mulut menjelaskannya, lagi pun saya dengar mereka sudah berbaik semula. "Saya anggap khabar angin ini hanyalah satu fitnah dan satu hari nanti orang akan tahu kebenarannya," ujar Kaka. Sementara itu, ditanya tentang hubungannya dengan pelakon wanita itu apabila timbul gosip tersebut, Kaka berkata dia hanya mengenali Tasha sebagai rakan artis dan hanya bertemu pada majlis-majlis hiburan sahaja. Dalam pada itu, bercerita tentang single Bukan Hal Aku, Kaka berkata ia adalah lagu yang benar-benar menepati cita rasanya. Gosip hubungan Tasha Shilla (kiri) dengan kekasihnya Hans Wong dikatakan putus akibat Kaka Azraff. Katanya, lagu tersebut juga menceritakan tentang perjalanannya dalam industri nyanyian tanah air. "Saya seorang peminat lagu hip-hop dan lagu Bukan Hal Aku ini benar-benar kena dengan jiwa saya. "Lagu ini santai didengar dan ia menceritakan tentang perjalanan kerjaya nyanyian saya juga dalam industri," katanya. Lagu Bukan Hal Aku nyanyian Kaka featuring Sleeq merupakan ciptaan The Good Fella.