BANGSAR: Pelakon Yatt Hamzah memberitahu beberapa kali diugut bunuh oleh segelintir puak yang tidak senang dengan aktiviti kemanusiaan yang dilakukan terhadap negara Islam seperti Palestin dan Syria. Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah, 35, berkata, kebanyakkan ugutan tersebut daripada rakyat negara luar yang menyokong keganasan dan menganggap Islam sebagai musuh. "Saya sudah beberapa kali diugut bunuh oleh pihak-pihak yang tidak sukakan Islam, mereka menyerang laman sosial saya dengan maki hamun menggunakan perkataan yang kasar. "Mereka berbuat demikian kerana saya sering memuat naik status atau berkongsi tentang peperangan dan kekejaman yang dilakukan keatas negara-negara yang sedang bergolak," ujarnya kepada mStar Online. Yatt ditemui pada majlis pelancaran butik Rumoda, di sini, Jumaat. Tambah Yatt, ugutan tersebut hanyalah sekadar serangan keyboard warrior yang tidak mengancam keselamatannya di negara ini. Dia juga tidak pernah gentar dan ambil pusing dengan ugutan bunuh tersebut. "Pada awalnya saya takut juga, namun lama kelamaan saya fikir mereka hanya sekadar menulis untuk menakut-nakutkan sahaja. "Buat masa ini saya tidak rasa keselamatan saya terancam pun," ujarnya. Yatt turut berkata, laman sosial peribadinya turut disekat hampir setiap bulan oleh puak tersebut. Bagaimanapun, Yatt berkata, perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang dan aktif dengan misi kemanusiaan yang disertai hampir tiga tahun ini. "Instagram dan facebook saya kerap kali disekat terutama bila muat naik status berkaitan peperangan dan keganasan Israel. "Pengikut instagram saya pun tiba-tiba hilang dalam jumlah yang banyak, namun itu semua dugaan yang kecil dan tidak mematahkan semangat saya," ujarnya. Dalam pada itu, Yatt berkata, dia dan suaminya baharu sahaja pulang daripada misi kemanusiaan di Syria pada akhir Februari lalu.