suria

Johan Pertahan Tindakan Cium Bibir Isteri

Johan mempertahankan tindakannya mencium isterinya dibahagian bibir selepas diumumkan pemenang kategori Penyampai Radio Lelaki Popular ABPBH 2014 pada malam Ahad lalu. Foto: Hafis Idzla.

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Johan (Raja Lawak) berkata, insiden dia mencium bibir isterinya, Ozlynn Wati ketika namanya diumumkan sebagai pemenang kategori Penyampai Radio Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2014) pada malam Ahad lalu bukan satu kesalahan.

Johan atau nama sebenarnya Muhammad Yazid Lim, 31, menjelaskan kucupan mesra itu sebagai tanda dia menghargai wanita berkenaan yang sentiasa berada di sisinya selain ingin berkongsi kegembiraan.

"Saya tidak melihat tindakan saya mencium isteri saya sebagai satu kesalah kerana Ozlynn adalah isteri saya yang sah.

"Dalam apa juga perkara yang saya lakukan atau penghargaan diberikan kepada saya, isteri adalah orang pertama yang saya ingin sambut bersama," katanya.

Tindakan Johan itu mendapat pelbagai reaksi dan ramai berpendapat ia tidak sopan dilakukan di khalayak ramai tambahan pula ia turut ditonton oleh jutaan penonton pelbagai peringkat usia menerusi siaran langsung yang disiarkan di TV3.

Johan menerima trofi Penyampai Radio Lelaki Popular. Foto: Hafis Idzla.

Pada Acara yang berlangsung di Arena of Star, Genting Highlands, Pahang itu, pelakon Shaheizy Sam merangkul trofi utama iaitu Bintang Paling Popular ABPBH 2014.

Dalam pada itu, Johan berkata, biarpun tindakannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada peminat namun dia tidak mahu terlalu memikirkan soal itu.

Jelas Johan, dia tidak dapat menutup mulut pihak lain daripada bercakap mengenai perkara itu kerana sedar tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

"Kalau hendak jaga hati orang payahlah. Pada saya apa orang hendak kata biarkanlah.

"Kami bukannya pasangan bukan muhrim sebaliknya suami-isteri yang sah. Saya tidak perlu peduli dengan apa yang orang hendak kata," jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemenangannya pada malam itu, Johan berkata, ia adalah rezeki untuk isteri dan anak-anaknya selain ia sebagai pemangkin semangat untuk terus meningkatkan prestasinya dalam bidang penyiaran radio pada masa hadapan.

Johan, Ozlynn Wati, ABPBH 2014.

Artikel Sebelum

Artikel Lain