Tiga daripada 10 peserta tersebut mempunyai pengalaman dalam bidang seni selain seorang pegamal perubatan.
Mereka ialah Wan Muhammad Logan, 44, berasal dari Johor, pernah bergelar penyanyi dengan nama komersialnya, Elji dan merakam sebuah album terbitan Polygram Records.
Selain itu, Shahrul Zaman Kamaludin, 49, dari Kuala Lumpur adalah seorang pelakon dan merupakan adik kepada pengarah drama terkenal Along Kamaludin.
Ketua Saluran Hiburan Astro, Azlin Reza Azmi, berkata, pemilihan sepuluh peserta itu adalah berdasarkan penilaian bakat secara keseluruhan yang dilihat ketika sesi uji bakat.
"Sejujurnya, calon-calon peserta yang hadir sewaktu sesi uji bakat yang lalu secara keseluruhan lebih bersedia daripada tahun sebelum ini.
"Sepuluh peserta ini mempunyai personaliti yang unik dan dilihat mampu memberikan warna dan saingan dalam pertandingan ini," ujarnya kepada mStar Online.
Azlin berkata demikian pada sidang media memperkenalkan barisan peserta Kilauan Emas 5, di Hard Rock Cafe, di sini, Rabu.
Program tersebut bakal disiarkan secara langsung selama tujuh minggu, setiap Rabu, pukul 9 malam di Astro Prima (105) dan Maya HD (135).
Sementara itu, tujuh peserta lain ialah Mursalim Muhidin, 44, dari Sabah, Wan Mohd Hasbi, 40, (Kedah), Dzulkifli Jalil, 54, (Selangor) dan Hassan Idris, 68, (Kuala Lumpur).
Peserta wanita pula Hazlina Wati Zainuddin, 42, (Johor), Noor Hayati Slamat, 54, (Perak), dan Norasmah Ibrahim, 51, (Perak).
Penyanyi Datuk Hattan dan Erra Fazira dilantik sebagai juri tetap rancangan tersebut.
Sementara, penyanyi Ayai (Ilusi) dan guru vokal iaitu Siti Hajar dan Syafi dilantik sebagai tenaga pengajar.
Azlin berkata, Kilauan Emas 5 masih mengekalkan format asal dalam pemilihan pemarkahan iaitu 70 peratus daripada juri tetap dan 30 peratus undian penonton.
Juara Kilauan Emas 5 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro.
Naib juara menerima RM50,000 dan trofi, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing memenangi wang tunai RM30,000 dan RM10,000.