suria

Segelintir Produksi Kecil Hati Dengan Rosyam Nor

Pihak penganjur dan juga artis yang terlibat dalam Anugerah Tribute P. Ramlee.

KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit Datuk Rosyam Nor memberitahu segelintir pihak produksi berkecil hati dengannya selaku penganjur bersama Anugerah Tribute P.Ramlee yang bakal berlangsung pada 19 April ini.

Rosyam berkata, hal tersebut terjadi gara-gara ramai produksi tidak dapat menyertai anugerah berkenaan kerana penyertaan yang dibuka terhad kepada 13 buah drama sahaja.

"Alhamdulillah penganjuran tahun kedua Anugerah Tribute P.Ramlee mendapat respons yang luar biasa sehingga ada yang berkecil hati kerana tidak dapat menghantar penyertaan.

"Ikutkan hati saya mahu ambil semua yang ingin turut serta tetapi penyertaan terhad jadi kami terpaksa tolak secara baik," katanya kepada mStar Online.

Selain Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, Anugerah Tribute P.Ramlee turut dianjurkan oleh RTM. Ia bakal berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada pukul 9 malam menerusi TV1.

Pelakon Awal Ashaari dan Yasmin Hani bakal bertindak sebagai pengacara.

Rosyam Nor

Dalam pada itu, Rosyam berkata, beliau berbesar hati apabila ramai pengarah hebat menyertai acara tersebut seperti Datin Paduka Suhaimi Baba, Osman Ali, Bade Azmi, Erma Fatima, Izma Aizal Yusoof, Zul Huzaimy, Michael Ang dan Fahmi Sarindi.

Jelas Rosyam, senario itu bukti penganjuran anugerah itu berada di landasan baik dalam mengangkat dan memperingati seni perjuangan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Sementara itu, Rosyam berkata, bagi menjaga ketelusan penghakiman acara berkenaan, beliau tidak terlibat sebagai juri bagi memilih pemenang pada malam tersebut.

Malah kata Rosyam, dia juga memberikan kebebasan sepenuhnya  kepada pihak RTM untuk memilih barisan juri bagi menilai kesemua 13 telefilem bertanding.

"Selaku penganjur bersama saya juga tidak menghantar sebarang penyertaan kerana mahu mengelak sebarang pertikaian pada keputusan akhir anugerah itu.

"Bagaimanapun saya yakin kesemua juri profesional terlibat dalam penjurian telah pun membuat keputusan yang adil dan saksama," katanya.

Dalam perkembangan sama, Rosyam berkata, sebanyak sembilan anugerah bakal disampaikan pada malam itu berdasarkan 13 telefilem yang ditayangkan menerusi slot Tribute P.Ramlee bermula 28 Oktober hingga 28 Disember tahun lalu.

Tambahnya, pada tahun ini dua lagi anugerah khas bakal diumumkan iaitu Tokoh Perfileman dan Anugerah Khas Juri.

"Seperti tahun sebelum ini, Anugerah Tribute P.Ramlee tidak mempunyai senarai akhir calon pada malam kemuncak itu nanti sebaliknya ingin memberi debaran kepada semua yang bertanding," katanya.

Tiga belas drama yang bakal bertanding adalah Menunggu Hujan Teduh, Seteguh Kasih Ibunda, Cinta Kedua, Nak Kahwin Lagi, Mengapa Ku Diseksa, Kasih Antara Kita, Mahabbah Rindu.

Manakala Jeritan Batinku, Apa Guna Berjanji, Kalau Itu Takdirnya, Engkau Laksaman Bulan, Apabila Kau Tersenyum dan Demi Waktu Mahani turut bertanding.

Berikut adalah senarai kategori yang bakal dipertandingakan pada Anugerah Tribute P.Ramlee.

1. Pelakon Lelaki Terbaik

2. Pelakon Wanita Terbaik

3. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik

4. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik

5. Penampilan Khas Terbaik

6. Skrip Terbaik

7. Sinematografi Terbaik

8. Pengarah Terbaik

9. Drama Terbaik

10. Tokoh Perfileman

11. Anugerah Khas Juri

Artikel Lain