suria

"Sharnaaz Ada Hak Komen Saya" - Shah Iskandar

Shah Iskandar memenangi Pelakon Lelaki TV Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 pada Ahad lalu. Dia turut memenangi anugerah serupa pada tahun lepas.
PETALING JAYA: Pelakon Shah Iskandar menjelaskan Sharnaaz Ahmad berhak untuk bersuara dan mempersoalkan kemenangannya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2014) Ahad lalu.

Shah atau nama sebenarnya Shah Iskandar Mahfuz, 33, berkata, Sharnaaz berhak untuk bercakap sedemikian kerana dia merupakan seorang yang mempunyai nama yang kuat dalam industri seni.

"Saya hanya boleh katakan no comment mengenai perkara ini kerana itu merupakan hak dia untuk lontarkan pendapat apa yang dia rasa.

"Bagi saya sesiapun berhak untuk melontarkan pendapat dan bersuara kerana itu merupakan hak masing-masing sebab mereka juga berkerja keras untuk memenangi anugerah tersebut,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Pada acara ABPBH 2014 lalu Shah Iskandar berjaya mengekalkan gelaran yang dimenanginya tahun lalu iaitu sebagai Pelakon Lelaki TV Popular.

Menerusi kategori berkenaan, Shah sekali gus menewaskan Aaron Aziz, Amar Baharin, Adi Putra dan  Sharnaaz Ahmad yang turut bersaing dalam kategori tersebut.

Sharnaaz Ahmad
Sharnaaz Ahmad

Dalam satu temubual yang disiarkan sebuah portal Sharnaaz berkata dia tidak reda kalah kepada Shah Iskandar dalam pertandingan itu dan lebih rela jika tewas di tangan Amar Baharin.

Pelakon itu juga berharap agar peminat yang mengundi artis masing-masing agar membuat pemilihan berdasarkan bakat mereka.

Dalam pada itu Shah Iskandar berkata dia masih terkejut dengan kemenangan tersebut dan menggangap ia adalah rezeki daripada Allah selepas kerja keras peminat untuk mengundi.

"Sehingga kini saya masih terkejut dengan kemenangan tersebut dan berterima kasih kerana kelab peminat yang berkerja keras dalam memastikan kemenangan pada malam itu kerana melakukan sesuatu perkara luar biasa.

"Kemenangan ini merupakan hadiah kepada peminat saya yang sentiasa menyokong dan mengundi hingga meraih kejayaan," jelasnya lagi.

Pada acara yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang itu, pelakon Shaheizy Sam diumumkan sebagai Bintang Paling Popular 2014 buat kali ketiga selepas pernah merangkul trofi sama pada tahun 2010 dan 2012. 
Sharnaaz Ahmad, Shah Iskandar

Artikel Lain