KUALA LUMPUR: Persembahan Datuk Siti Nurhaliza menerusi konsert unplugged di Istana Budaya di sini pada malam Selasa menjadi amat bermakna apabila penyanyi itu berkongsi kisah menarik yang jarang diketahui ramai sepanjang 20 tahun penglibatannya dalam dunia seni. Dalam konsert selama kira-kira dua jam itu, Siti Nurhaliza, 36, mendedahkan dia pernah menumpang di sebuah bilik rumah komposer Adnan Abu Hassan yang digelarnya sebagai Abang D ketika baharu bergelar artis. "Abang D antara individu yang bertanggungjawab membawa saya dalam industri ini, saya pernah menumpang di rumahnya ketika baru-baru jadi artis dulu. "Ketika itu dia baru sahaja berkahwin dan belum mempunyai anak, jadi saya tumpang sebuah bilik kosong di rumahnya," ujar Siti mengimbas kenangan itu. Siti turut mengundang komposer tersebut naik ke atas pentas mengiringi kumpulan muzik untuk lagu Jerat Percintaan dan Azimat Cinta. Tun Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah menjadi tetamu istimewa malam tersebut. Selain itu, Siti juga menceritakan tentang kenangannya memenangi pertandingan peringkat antarabangsa Golden Voice di Shanghai, China pada tahun 1999. Kata Siti, pada waktu yang sama dia turut mendapat undangan menyanyi di hadapan perdana menteri yang ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad. "Pada tahun 1999 saya menyertai pertandingan nyanyian Golden Voice di Shanghai dan ketika peringkat akhir sama tarikh dengan undangan persembahan di depan perdana menteri Tun Dr Mahathir. Saya tidak mahu lepaskan kedua-duanya jadi kami atur jadual betul-betul. "Alhamdulillah saya memenangi anugerah utama dalam pertandingan itu dan selepas selesai saya terus berangkat balik ke Malaysia. Setibanya sahaja di lapangan terbang Subang, sebuah helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia sudah menanti untuk membawa saya ke Langkawi. "Ketika itu perasaan saya ialah tidak sabar untuk memberitahu Tun Dr Mahathir bahawa saya telah menang pertandingan itu," ujarnya. Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali turut hadir pada konsert tersebut sebagai tetamu istimewa. Faizah Tahir anatara komoser muda yang mencipta lagu Siti Nurhaliza. Sementara itu, Siti juga memperkenalkan wartawan pertama yang menemuramahnya iaitu selepas kejayaan menjuarai sebuah pertandingan di RTM. Wartawan berkenaan ialah Rosli Manah yang ketika itu merupakan wartawan hiburan Utusan Malaysia. Siti turut mendedahkan semasa di awal kemunculan dia amat takut kepada wartawan dan juga deejay radio kerana tidak tahu apa yang hendak dijawab jika diajukan soalan. "Dulu saya takut bila ada sesi bertemu wartawan kerana saya tidak tahu nak jawab apa dan selalu bertanya kepada Kak Rozi (pengurus) apa soalan yang bakal ditanya. "Ketika itu saya tidak pandai jawab, kalau mereka tanya tiga soalan, saya jawab tiga sahaja. Tetapi sekarang kalau mereka tanya satu soalan saya jawab 20 ayat. Itu semua saya belajar melalui pengalaman dan nasib saya baik mereka sentiasa menyokong saya sehingga sekarang," katanya. Siti juga menceritakan tentang pengalaman pertama kali merakam lagu di studio yang mengambil masa hampir 10 jam kerana ingin menghayati lagu tersebut. Katanya, ketika itu lagu tersebut memerlukannya untuk bermonolog tentang perasaan cinta yang tidak pernah dilaluinya. "Saya terpaksa berada di studio dari pukul 9 malam hingga 6.30 pagi semata-mata untuk rakam sebuah lagu yang ada monolog cinta. "Maklumlah ketika itu masih lagi budak sekolah dan tidak pernah bercinta, jadi sukar untuk saya menghayati monolog itu," ujarnya. Siti membawakan lebih 15 buah lagu termasuk beberapa lagu popularnya secara madley dalam persembahan yang dikenali 'Dato Siti Nurhaliza Unplugged 2015'. Antaranya Purnama Merindu, Diari Hatimu, Wajah Kekasih, kau Kekasihku, Terbaik Bagimu, Lebih Indah dan Aku Cinta Padamu. Dua komposer muda iaitu Faizal Tahir dan Awi Rafael turut diundang bagi mengiringinya menyanyikan lagu ciptaan masing-masing iaitu Aku dan Mula & Akhir. Konsert berkenaan diiringi kumpulan muzik diketuai oleh Aubrey Suwito yang bertujuan melengkapkan perjalanan seni beliau selama 20 tahun. Persembahan berkenaan diadakan secara eksklusif hanya untuk satu malam sahaja dengan tiket dijual serendah RM78 hingga RM518.