PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Sabhi Saddi menyangkal dakwaan dia menggunakan bahan terlarang seperti steroid untuk membina otot badannya. Sabhi, 31, berkata, dia tidak sesekali mengambil barang terlarang itu kerana menyedari tentang bahayanya terhadap kesihatan dirinya. "Tubuh saya bersih daripada semua bahan terlarang tersebut dan saya cuma mengamalkan senaman serta teknik yang betul untuk membesarkan otot sebelum dan selepas bersenam. "Saya menyedari bahawa bahan tersebut banyak memberi kesan negatif kepada kesihatan tetapi ia terpulang kepada individu masing-masing untuk menggunakannya ataupun tidak," katanya kepada mStar Online . Dalam pada itu, Sabhi berkata, dia akan menghabiskan masa selama lima hari seminggu ke gim untuk bersenam dan membina otot-ototnya. Sabhi Saddi ketika di gim. Malah kata Sabhi, dia banyak mempelajari teknik senaman yang betul menerusi rakan-rakan yang ditemui di pusat kecergasan. Sementara itu, sabhi menjelaskan dia mengamalkan senaman secara berterusan setiap hari dan menjaga pemakanannya dan tidak mengambil makanan yang mempunyai banyak minyak serta lemak. "Saya tidak mengambil benda terlarang tersebut untuk membesarkan badan sebaliknya kini saya menjaga pemakanan dengan betul dan tidak makan makanan seperti nasi, minyak dan gula. | "Mungkin saya menggunakan suplemen tambahan yang bagus serta perlu untuk tubuh badan jadi ia dapat membantu proses membesarkan otot dalam masa yang cepat," jelasnya lagi. Bagaimanapun kata Sabhi, dia tidak menafikan kegigihannya membina otot adalah untuk menjaga penampilan sebagai seorang selebriti. Dalam perkembangan lain, Sabhi berkata, selepas hampir setahun tidak menerima sebarang tawaran berlakon, dia akhirnya bakal muncul dalam sebuah drama bersiri berjudul Puteri Gunung Ledang yang turut menggandingkannya dengan Ammar Alfian dan Atikah Suhaimi.