suria

Siti Fazurina Enggan Kenang Kontroversi Lalu

Siti Fazurina ingin merancakkan kembali karier lakonannya pada tahun ini.
PETALING JAYA: Pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Dunia Anita iaitu Siti Fazurina enggan lagi mengenang kontroversi perkahwinannya dengan Muhammad Hykal Zulkifli, 34, kira-kira dua tahun lalu.

Fazurina atau lebih mesra dengan sapaan Nina, 33, berkata, apa yang terjadi ketika itu sudah pun tinggal sejarah dan dia tekad untuk memulakan kehidupan baharu.

"Apa yang terjadi dahulu saya sudah letakkan di belakang dan tidak mahu ia dikenang lagi kerana pada saya fokus hari ini adalah perkara yang baik-baik sahaja.

"Paling penting kita mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku dan Alhamdulillah sekarang pun semuanya sudah kembali pulih seperti sedia kala," katanya kepada mStar Online.

Pasangan itu sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila melangsungkan perkahwinan berwalikan bapa saudaranya tanpa pengetahuan keluarga yang diadakan di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada 20 Disember 2012.

Fazurina bersama suami dan temannya ketika menghadiri Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 di Genting Highlands pada 5 Mac lalu.


Bagaimanapun ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 63, mendedahkan perkahwinan itu tidak sah kerana Nina dipercayai memberi maklumat palsu kepada pejabat agama dengan mengatakan dia anak tunggal untuk menggunakan bapa saudara sebagai wali sedangkan dia masih mempunyai dua adik lelaki kandung.

Nina dan Hykal dinikahkan semula pada 20 Mac 2013 dengan diwalikan adik kandungnya.

Dalam pada itu, Nina berkata, tahun ini bakal memperlihatkan dia akan kembali merancakkan karier lakonannya selepas dua tahun menyepi tanpa sebarang projek besar.

"Saya sebenarnya masih dalam industri cuma dilihat menyepi kerana tidak ada sebarang projek besar dan sudah tiba masanya saya kembali merancakkan karier lakonan saya," ujarnya.

Sementara itu, Nina berkata, selain lakonan dia kini sedang sibuk menguruskan butik pakaian muslimah iaitu Nina Fazurina Collection yang terletak di Medan Mara dekat sini.

Nina berkata, perniagaan yang diusahakan sejak setahun lalu itu semakin berkembang dan dia merancang untuk menghasilkan lebih banyak koleksi di bawah labelnya.

"Buat masa ini saya memfokuskan pakaian muslimah tetapi menjelang sambutan hari raya nanti saya merancang untuk menambah koleksi untuk lelaki pula," katanya.
Siti Fazurina.

Artikel Berikut

Artikel Lain