KUALA LUMPUR: Aktres Liyana Jasmay menyifatkan filem-filem tempatan pada masa kini tidak lagi relevan kerana penceritaannya tidak mengikut perkembangan semasa. Liyana berkata, keadaan itu membuatkan golongan remaja tidak berminat menonton filem tempatan sekali gus menjadi punca utama karya seni kurang mendapat sambutan. "Apa yang saya lihat, filem kita tidak relevan dengan isu atau trend zaman sekarang. "Kalau ikut trend pun, lepas dua tahun baru ditayangkan, jadi dah tak 'in' dan macam mana nak tarik orang muda menonton filem itu? Mereka mahukan filem yang trendy. "Selain itu, konsep pemasaran juga amat penting bagi menarik perhatian ramai. Tetapi sayangnya kebanyakan penggiat seni… mereka kurang mengutamakan perkara itu," katanya. Liyana ditemui pada majlis pelancaran dan doa selamat filem baharu terbitan syarikatnya Mermaid Studios iaitu Bella Dan Jamie di Hotel Berjaya di sini pada petang Khamis. Kata ibu kepada seorang anak ini, atas sebab itu dia buat pertama kalinya cuba menerbitkan filem yang mengikut cita rasa penonton golongan remaja. Liyana berkata, Bella Dan Jamie merupakan idea asalnya bersama pengarah Fairul Nizam Ablah yang menceritakan tentang dua sahabat baik. "Memandangkan ini filem terbitan pertama, pembikinannya hanya berskala kecil di mana bajet yang dikeluarkan tidak terlalu mahal dan manakala penggambaran akan berlangsung selama dua minggu bermula Isnin depan. "Saya mahu menerbitkan filem yang ringan tetapi dekat dengan jiwa penonton dan kisah dua sahabat ini saya percaya pernah terjadi kepada orang lain yang melalui susah dan senang bersama. "Harap-harap filem ini dapat ditayangkan secepat mungkin. Kalau tidak dah tak relevan pula untuk penonton," ujarnya. Bella Dan Jamie yang diterajui pelakon Juliana Evans, Khir Rahman, Dynaz Mokhtar dan Izzue Islam. Ia mengisahkan persahabatan antara Bella dan Jimie dimana hubungan mereka lebih erat selepas mendapat tahu bapa Jimie dan ibu Bella merancang untuk berkahwin. Bagaimanapun keakraban mereka menjadi keruh apabila Bella mendapati Jamie sedang menjalinkan hubungan cinta dengan bekas kekasihnya.