suria

Makanan Laut Punca Wajah Hafreez Adam 'Buruk', Tanggung Malu

Hafreez Adam ketika zaman remajanya (kiri) dan wajah terkini.
PETALING JAYA: Pelakon Hafreez Adam mendedahkan, kegilaannya terhadap makanan laut pada usia remaja menjadi punca mukanya kelihatan “buruk” akibat dipenuhi jerawat batu.

Hafreez, 25, berkata, masalah itu menyebabkan dia hilang keyakinan diri, malu berjumpa orang ramai dan banyak menghabiskan masa di rumah.

"Ketika berumur 18 tahun muka saya sangat teruk kerana mempunyai banyak jerawat  menyebabkan saya kurang keyakinan diri dan berasa malu. Saya juga jarang keluar bersama rakan-rakan," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Hafreez berkata, ketika mendapatkan rawatan, doktor menasihatinya agar tidak lagi memakan makanan laut kerana ia antara faktor yang menyebabkan wajahnya ditumbuhi jerawat yang banyak.

Katanya, kerana bimbang masalah itu bertambah melarat, dia memutuskan untuk tidak lagi menikmati makanan laut sehinggalah jerawatnya berkurangan dan muka menjadi licin dalam tempoh lima tahun.

Hafreez Adam kini lebih kacak.

"Sejak menerima nasihat yang diberikan oleh doktor saya tidak lagi memakan makanan laut selama lima tahun dan semenjak itu, jerawat di muka saya semakin berkurangan walaupun tidak hilang seratus peratus.

"Perkara ini mungkin juga terjadi disebabkan proses hormon yang terdapat pada badan sewaktu remaja ditambah lagi ketika itu saya kurang menitikberatkan tentang pemilihan makanan yang berkhasiat," jelasnya.

Kata Hafreez, dia telah meluahkan rasa malu itu di dalam blognya dua tahun lalu termasuklah pengalaman dihina  rakan sendiri yang menyamakan wajahnya itu dengan kulit punggung.

Ujarnya, tujuan dia meluahkan perasaan itu adalah untuk memberi motivasi kepada orang lain agar yakin kepada diri sendiri dan sentiasa berfikiran positif.

Dalam pada itu kata Hafreez, dia perlu mengambil masa yang lama untuk mengembalikan keyakinan dirinya dan berhadapan dengan orang ramai selepas mengalami masalah tersebut.

"Semua perubahan ini berlaku secara berperingkat dan ia mengambil masa yang lama untuk saya mengurangkan jerawat pada muka dengan mencuba pelbagai produk yang terdapat di pasaran.

"Keluarga juga banyak membantu serta mengubah imej saya dari segi pakaian, penjagaan muka serta potongan rambut yang sesuai untuk meningkatkan semula keyakinan diri saya berhadapan orang ramai,” katanya.

Berkat usaha itu Hafreez bukan sahaja berjaya menjadi seorang pelakon tetapi paling bermakna apabila diumumkan sebagai Pelakon Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 (ABPBH 2014) pada 5 Mac lalu.

Dalam perkembangan lain lakonan Hafreez dapat ditonton menerusi slot Akasia (TV3) iaitu Hati Perempuan.

Dia juga popular menerusi drama Bila Hati Berbicara yang pernah ditayangkan di slot yang sama sebelum ini.
Hafreez Adam

Artikel Lain