suria

Afdlin Tukar Bilik Kerana Terkenang Allahyarham Harun Salim Bachik

KUALA LUMPUR: Pelawak Afdlin Shauki memberitahu dia terpaksa menukar bilik persalinan di Istana Budaya ketika pementasan Lawak Ke Der 2015 berikutan sering terkenangkan rakan karibnya Allahyarham Harun Salim Bachik.

Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan, 43, berkata, bilik yang disediakan pihak produksi merupakan bilik yang sama ketika dia bersama Allahyarham menjayakan pementasan Lawak Ke Der sebelum ini. 

"Saya ditempatkan di bilik persalinan yang sama dengan abang Harun jadi waktu saya berada dalam bilik tersebut saya asyik teringat Allahyarham sehingga mneganggu fokus.
 
"Disebabkan perkara itu, saya minta produksi tukar ke bilik lain kerana saya sentiasa rasa sebak," katanya kepada mStar Online.

Afdlin berkata demikian ketika ditemui selepas pementasan Lawak Ke Der 2015 di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini, malam Khamis.

Pementasan Lawak Ke Der kali ke-4 ini berlangsung bermula 16 hingga 19 April 2015.

Gambar kenangan ketika persembahan Lawak Ke Der 2 pada 2012.

Afdlin berkata, Istana Budaya itu sendiri menjadi lokasi yang menyimpan terlalu banyak memori dan kenangan manisnya bersama Allahyarham.

"Tiap kali saya lihat meja di situ, terkenang waktu kami bersolek dalam persembahan Lawak Ke Der sebelum ini bagi menjayakan watak pramugari, Datin Maimon serta Pontianak.

"Bagimanapun, saya perlu bertindak profesional dan kena tahu kerja serta tugasan ketika ini adalah untuk menghiburkan penonton," katanya.

Selain itu, Afdlin turut menyifatkan arwah seorang yang komited dan akan mendiamkan diri setiapk kali sebelum melakukan persembahan.

Dalam segmen tribute Allahyarham Harun Salim Bachik, Afdlin kelihatan tidak dapat mengawal emosi dan menitiskan air mata ketika tayangan koleksi videonya bersama arwah pada pementasan Lawak Ke Der 2 tahun 2012.

Afdlin Shauki, Lawak Ke Der

Artikel Lain