suria

Izara Aishah Enggan Seksi Bukan Kerana Teman Lelaki

Izara enggan tampil seksi dalam filem atau drama lakonannya atas kehendak diri sendiri. Foto NORAFIFI EHSAN.

PETALING JAYA: Pelakon Izara Aishah menolak dakwaan dia enggan tampil seksi dalam filem atau drama lakonannya disebabkan permintaan teman lelakinya iaitu Adib Khalid.

Izara, 23, berkata, keputusan itu dibuat atas kehendak dirinya sendiri yang kurang selesa dengan penampilan seksi selain ia kurang sesuai untuk tontonan umum.

"Saya enggan lagi tampil seksi selepas melihat penampilan saya dalam filem Sejoli yang agak keterlaluan malah saya sendiri berasa malu.

"Ia tidak ada kena mengena dengan sesiapa termasuk teman lelaki dan saya sendiri meletakkan syarat tentang pemakaian," katanya.

Izara dan Adib.

Izara bakal tampil dengan filem terbaharu lakonannya iaitu Pilot Cafe arahan Osman Ali pada 30 April ini.

Filem yang diadaptasi daripada novel tulisan Ahadiat Akashah itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Fahrin Ahmad, Remy Ishak, Neelofa, Aishah Ilias dan Raya Ilya.

Dalam pada itu, Izara menyifatkan tuduhan sikapnya mula berubah sejak menjalinkan hubungan cinta dengan Ketua Pegawai Ekskutif Tune Studios itu adalah mengarut.

Bagaimanapun Izara tidak menolak tanggapan itu dibuat kerana kisah cintanya bersama Adib menjadi perhatian sehingga dia dilabel sebegitu.

"Kepada siapa yang mengenali saya pasti tahu bagaimana sebenarnya karakter saya malah keluarga dan teman rapat tidak pula menegur tentang perkara itu.

"Saya masih orang yang sama dan tidak pernah berubah," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Izara berkata, dia bakal kembali ke set penggambaran bersama Osman Ali menerusi filem Kau Yang Satu yang turut menampilkan Aaron Aziz dan Hisyam Hamid.

Izara Aishah, Adib Khalid.

Artikel Lain