PETALING JAYA: Penyanyi Dafi menegaskan tidak pernah menipu atau bercakap kosong apabila memberitahu bakal bekerjasama dengan komposer popular Indonesia, Ahmad Dhani. Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 27, berkata, dia terkejut apabila ada segelintir pihak yang menuduh kononnya dia sengaja menggunakan artis negara seberang itu untuk meraih publisiti. "Merepek. Saya pelik apabila ada orang mengata saya seorang penipu. Kononnya saya bercakap kosong mengenai kerjasama saya dengan Dhani. "Saya bukan penipu! Apa faedahnya saya nak buat macam itu? Lebih baik saya cakap yang saya bakal berkolaborasi dengan artis Hollywood! "Dhani buat masa ini sedang sibuk, kerana itu kami sukar berurusan bersama" jelasnya kepada mStar Online. Ahmad Dhani Pada April tahun lalu, Dafi pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia bakal bekerjasama dengan Ahmad Dhani. Bagaimanapun, tiada berita mengenai perkembangan kerjasama tersebut membuatkan Dafi dituduh menipu orang ramai dan sengaja ingin meraih publisiti murahan. Sementara itu, Dafi berkata, kerjasama dengan Dhani bakal dilaksanakan pada bulan depan dimana kedua-dua mereka akan berbincang bersama mengenai konsep lagu yang akan dihasilkan. Dalam perkembangan lain, Dafi juga bakal muncul dengan single terbaharu ciptaan komposer Akid, berjudul Sementara. "Sementara proses perbincangan lagu bersama Dhani, saya akan muncul dengan lagu baru. "Saya harap peminat akan menyukai lagu tersebut kerana dia pernah menghasilkan lagu Nomad iaitu Tetap Menantimu," ujarnya.