Fahrin, 34, berkata, biarpun mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut namun dia masih berasa gementar apabila diminta melakonkan adegan berpelukan dengan wanita ataupun beraksi intim.
"Sehingga ke saat ini saya masih berasa malu dan gementar untuk melakonkan aksi-aksi intim bersama pelakon wanita dalam sesebuah drama ataupun filem.
"Filem Pilot Cafe paling membuatkan saya gementar kerana banyak adegan memerlukan saya beraksi sedemikian sampai saya berasa malu," katanya kepada mStar Online.
Fahrin mengakui berasa gementar apabila dia perlu melakonkan babak intim.
Karya arahan Osman Ali itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Izara Aishah, Neelofa, Remy Ishak dan Keith Foo.
Dalam pada itu, Fahrin berkata, bagi mengelakkan dia melakonkan adegan tersebut berulang kali dia akan memberikan aksi terbaik ketika penggambaran supaya tidak perlu mengulang semula babak itu.
Kata Fahrin, meskipun dia berasa tidak selesa namun sebagai pelakon dia perlu bersikap profesional ketika menjalankan tanggjungjawab diamanahkan kepadanya.
"Saya akan pastikan saya memahami sesuatu babak itu dan kehendak pengarah sebelum memasuki set penggambaran dan akan cuba tidak mengulang adegan intim berulang kali," ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai wataknya sebagai Ameer Reza yang banyak menitiskan air mata dalam Pilot Cafe, Fahrin berkata, dia sendiri tidak menyangka dapat melakonkan adegan menangis dengan baik.
Barisan pelakon filem Pilot Cafe.