suria

Kes Pukul: Rozana Beri Keterangan Tanpa Pandang Awie

Rozana selaku takut dan tidak selesa untuk memberi keterangan dari kandang saksi terutama dihadapan Awie.

AMPANG JAYA: Isteri kepada vokalis kumpulan Wings, Awie iaitu Rozana Misbun terpaksa memberikan keterangan di kandang saksi selepas Mahkamah Majistret di sini pada Rabu menolak permohonannya memberi keterangan menerusi sidang video dari luar mahkamah terhadap perbicaraan penyanyi itu yang didakwa sengaja mendatangkan kecederaan ke atas dirinya, tahun lalu.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membuat keputusan itu selepas berpuas hati meneliti afidavit dan hujahan yang dikemukakan kedua-dua pihak.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan Rozana selaku pengadu kes berkenaan untuk memberikan keterangannya dengan dilindungi tabir bagi mengelakkan dia memandang Awie yang duduk dikandang tertuduh.

Pada prosiding sebelum ini Rozana selaku saksi utama mendakwa takut dan tidak selesa untuk memberi keterangan dari kandang saksi terutama dihadapan Awie.

[SILA KLIK: "Patah Tulang Rusuk, Retak Tulang Hidung Dibelasah Awie" - Rozana]

Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene membuat permohonan kebenaran secara bertulis untuk membolehkan Rozana memberi keterangan secara sidang video seperti mana diperuntukkan di bawah Seksyen 272(B) Kanun Tatacara Jenayah.

Awie

Sementara itu, Rozana yang hadir ke mahkamah mengenakan baju berwarna biru lengkap berselendang masuk ke kandang saksi untuk memberikan keterangan kira-kira pukul 11.15 pagi.

Ketika ini perbicaraan masih berlansung dengan Rozana menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya dan ia dijangka berlanjutan sehingga petang ini.

Dua lagi saksi dijangka turut memberi keterangan pada perbicaraan masuk hari kelima.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, dilihat tenang mendengar keterangan isterinya dan sesekali menggelengkan kepala mendengar jawapan wanita berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rozana pada 2 Jun tahun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana Hulu Kelang di sini.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Awie, Rozana