AMPANG: Isteri kepada vokalis kumpulan Wings, Awie iaitu Rozana Misbun memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, dua tulang rusuk kirinya patah manakala hidungnya retak akibat dipukul suaminya itu tahun lalu. Rozana, 37, berkata, Awie turut menumbuk mukanya bertubi-tubi selepas berlaku perselisihan faham di rumah sewa mereka di Ukay Perdana kira-kira pukul 1.30 petang, 2 Jun tahun lalu. Jelasnya lagi, kejadian itu berlaku selepas Awie menuduh dia mencuri wang milik Awie biarpun telah menjelaskan ia digunakan untuk perbelanjaan keluarga. "Ketika kejadian, berlaku perselisihan faham di antara kami di dalam bilik pembantu rumah kami selepas dia menuduh saya menggunakan wangnya tanpa kebenaran. "Saya menjelaskan wang berkenaan digunakan untuk perbelanjaan keluarga namun dia tidak percaya sebelum menumbuk wajah saya bertubi-tubi terutama pada bahagian hidung," dedahnya. [SILA KLIK: Kes Pukul; Rozana Beri Keterangan Tanpa Pandang Awie] Rozana berkata demikian selepas menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Reen pada hari kelima perbicaraan kes berkenaan. Perbicaraan tersebut didengar di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman. Tambah Rozana, akibat ditumbuk bertubi-tubi oleh suaminya dia rebah ke lantai sebelum Awie menendang pada bahagian rusuk kirinya dan memijak badannya menggunakan kaki. "Saya cuba bangun tetapi dia terus menendang muka saya dan saya berasa sangat sakit," ujarnya. Gambar Rozana dipukul ini tersebar di internet. Awie yang berada dikandang tertuduh dilihat menggeleng-gelengkan kepalanya selepas mendengar kenyataan isterinya itu dan sesekali memandang ke arah media yang memenuhi galeri mahkamah untuk membuat liputan. Terdahulu, Rozana terpaksa memberikan keterangan dikandang saksi selepas mahkamah menolak permohonannya memberi keterangan menerusi sidang video dari luar mahkamah kerana berasa takut untuk memberi keterangan di hadapan Awie. Bagaimanapun mahkamah membenarkan Rozana selaku pengadu kes berkenaan untuk memberikan keterangannya dengan dilindungi tabir bagi mengelakkan dia memandang Awie yang duduk di kandang tertuduh. Meneruskan keterangannya, Rozana berkata, Awie kemudiannya menarik rambutnya sebelum mengheretnya ke ruang tamu sebelum mukanya ditendang sekali lagi sehingga berdarah. "Saya ketika itu duduk di sofa dan dia tendang muka saya sekali lagi dan darah mengalir keluar dari hidung. "Saya merayu kepadanya supaya menghentikan perbuatannya itu namun dia mengambil kayu 'monopod' dan menghayun ke bahagian kiri telinga saya dan batang berkenaan patah tiga. "Ketika itu baharulah dia berhenti memukul saya dan memberi sapu tangannya untuk mengelap darah yang keluar," katanya. Bagaimanapun katanya, Awie menolaknya masuk ke dalam kereta yang dipandu oleh pemandu dikenali sebagai Khayrul Anwar dan memaksanya untuk pergi ke sebuah bank di Ampang bagi mengeluarkan wang dalam akaun atas namanya (Rozana). "Biarpun saya enggan pergi kerana berada dalam keadaan sakit dan berdarah saya tetap ditolak masuk ke kereta untuk ke bank bagi mengeluarkan wang berjumlah RM30,000 daripada akaun atas nama saya. "Kemudian kami ke bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak untuk mengeluarkan wang di Amanah Saham Bumiputera (ASB) tetapi saya dipukul di hadapan kaunter disaksikan oleh orang ramai yang berada ditempat kejadian selepas saya tidak membawa buku ASB," jelasnya. Sementara itu, Rozana berkata, Awie kemudian membawanya ke Pandan Indah di sini dipercayai pejabat peguam dan meletakkannya di dalam sebuah bilik ditemani pemandu selama sejam. Awie dan Rozana turut menghadapi perbicaraan kes tuntutan hak penjagaan anak di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur. Katanya, selepas itu Awie bersama seorang peguam dikenali sebagai Azwan muncul dalam bilik berkenaan sebelum memaksanya menandatangani beberapa dokumen. "Saya tidak tahu apa kandungan dokumen itu kerana tidak dapat membaca dengan jelas kerana rabun dan tidak memakai cermin mata. "Selepas itu dia menghantar saya pulang ke rumah dan dia kembali keluar dan saya tidur sambil menahan kesakitan," katanya. Terangnya lagi, pada 5 Jun 2014 dia berjumpa doktor di Hospital Pandan Desa selepas tidak tahan dengan kesakitan dialami dan hasil ujian sinar X mendapati hidungnya retak dan dua tulang rusuk kirinya patah. Dia menjelaskan turut ditahan selama tiga hari di hospital berkenaan sebelum meminta kebenaran untuk pulang kerana bimbangkan anak-anaknya. "Selepas pulang ke rumah saya tidak tahan setiap hari diseksa secara mental oleh suami berhubung kejadian itu sehinggalah pada 15 Jun saya nekad keluar rumah dan kembali ke kediaman ibu bapa saya di Pantai Dalam (Kuala Lumpur). "Seterusnya saya membuat dua laporan polis di Balai Polis Ampang Jaya sebelum ke Hospital Ampang untuk membuat pemeriksaan berhubung kecederaan dialami," ujarnya. Dalam perkembangan sama, Rozana dilihat memberikan jawapan konsisten apabila peguam bela Awie melakukan soal balas terhadapnya berhubung keterangan diberikan. Perbicaraan yang berlanjutan sehingga pukul 4.30 petang itu bagaimanapun ditangguhkan pada 3 Jun depan. Mengikut pertuduhan, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rozana pada 2 Jun tahun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana, Hulu Kelang di sini. Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.