PETALING JAYA: Pelakon Ezzaty Abdullah tidak dapat melupakan pengalamannya pengsan selepas kaki kanannya tersepak rim sport kereta ketika di lokasi penggambaran drama bersiri Stella bulan lalu. Ezzaty, 25, berkata, kejadian itu menyebabkan kuku kaki ibu jari kanannya tercabut akibat impak tendangan kuat sehingga mengeluarkan darah yang banyak dan terpaksa berbalut sehingga kini. "Ketika kejadian saya sedang melakonkan babak aksi bersama aktor Cico Harahap tetapi malang tidak berbau saya tersepak sport rim kereta. "Akibat impak yang kuat kuku ibu jari kaki saya tercabut dan berdarah sebelum saya pengsan di tempat kejadian," katanya kepada mStar Online. Ezzaty memberitahu akibat kejadian itu, kecederaan yang dialaminya masih belum sembuh. "Alhamdulillah kecederaan itu tidak serius dan saya kini sudah beransur pulih," jelasnya yang pernah popular menerusi drama bersiri Delina. Dalam pada itu, Ezzaty berkata, kejadian itu tidak melemahkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya seni sebaliknya menganggap perkara itu sebagai asam garam biasa sebagai pelakon. “Sebagai seorang pelakon, saya tahu ramai lagi pelakon lain yang lebih teruk ditimpa kemalangan dan ini hanyalah kecederaan ringan. “Ini merupakan cabaran yang kami perlu tempoh dalam menjadi anak seni kerana kami perlu berlakon babak aksi dan pelbagai lagi,” katanya. Drama 13 episod itu bakal ditayangkan pada bulan Ramadan depan di TV9. Dalam perkembangan lain, Ezzaty berkata, dia kini sedang menjalani pengambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang untuk filem Anak Mami Nasi Kandar arahan Profesor A. Razak Mohaideen.