PETALING JAYA: Penyanyi Asfan sudah terbiasa dengan kekeliruan sesetengah peminat yang menyangka dia adalah penyanyi rap, SonaOne kerana mereka dikatakan mempunyai raut wajah seiras. Asfan atau nama sebenarnya Norasfan Shah Shah Rudin, 31, berkata, dia tidak berkecil hati dengan perkara itu selain menyifatkan ia adalah kebetulan. "Pernah saya sedang melepak di kedai mamak ada peminat menegur dan menanggil saya SonaOne dan kemudiannya meminta maaf kerana tersalah orang. "Pun begitu saya tidak marah kerana kejadian seperti itu sudah banyak kali berlaku dan raut wajah kami yang dikatakan seiras adalah kebetulan," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Asfan berkata, dia juga tidak pernah cuba meniru imej penyanyi lagu No More itu sehingga membuatkan mereka kelihatan sama. Sonaone. Malah Asfan juga tidak pernah bertemu dengan pemuda itu biarpun mengagumi bakatnya sebagai penyanyi rap dan pemuzik. Dalam perkembangan lain, Asfan berkata, dia kini sibuk dengan kerja-kerja belakang tabir bagi menghasilkan lagu untuk beberapa artis baharu. Jelasnya, peluang diberi akan digunakan sebaik-baiknya dalam menghasilkan karya bermutu biarpun dia masih baharu dalam bidang seni. "Saya kini banyak berada di studio untuk menghasilkan lagu untuk artis baharu dan kepercayaan itu harus digunakan sebaik-baiknya. "Ini adalah peluang saya untuk buktikan diri bahawa saya serius dalam bidang ini bukan sahaja menyanyi malah sebagai pencipta lagu," katanya. Selain itu, Asfan turut memberitahu sudah pun melancarkan single terbaharunya berjudul Semua Tentang Kita dan gembira dengan penerimaan peminat. Malah katanya, muzik video lagu berkenaan akan dilancarkan dalam masa terdekat dan menampilkan aktres Amyra Rosli sebagai pelakon.