suria

Syatilla Melvin Serah Pada Shaheizy Sam Umum Hal Kahwin

Syatilla Melvin
PETALING JAYA: Pelakon Syatilla Melvin menyerahkan kepada kebijaksanaan aktor Shaheizy Sam untuk mengumumkan perkembangan berkaitan perkahwinan mereka.

Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirul Melvin, 24, berkata, dia mengambil pendekatan sentiasa menyokong dan bersetuju dengan setiap apa yang diperkatakan oleh kekasihnya itu.

"Biarlah semua kenyataan itu keluar daripada mulut Sam sendiri kerana tidak manis saya sebagai seorang wanita untuk menghebahkan mengenai perkara tersebut.

"Buat masa sekarang ini, saya cuma boleh katakan no comment mengenai perkara itu dan saya serahkan segalanya kepada Sam untuk menjelaskan kepada orang ramai.

"Apa yang keluar daripada mulut Sam itulah juga jawapan saya kerana saya tidak akan sesekali mengeluarkan sebarang kenyataan sendiri mengenai perkara itu kepada umum," katanya ketika dihubungi mStar Online, disini, Rabu.


Syatilla Melvin dan Shaheizy Sam sudah kenal sejak enam tahun lalu.
Syatilla diminta mengulas kenyataan dibuat Sam dalam sebuah portal hiburan mengenai hasratnya untuk berumahtangga dalam mada terdekat sebaliknya enggan mendedahkan siapakah wanita itu buat masa ini.

Namun, laporan berkenaan turut menyebut individu itu adalah Syatilla Melvin dan Sam sendiri turut mengakui senang berkawan dengan wanita itu yang dikenalinya sejak enam tahun lalu.

Dalam pada itu, Syatilla turut menyifatkan hubungan mereka buat masa ini amat baik.

"Mungkin nanti bila sudah tiba masanya saya akan buka mulut mengenai perkara itu.

"Sekarang ini biarlah ia menjadi rahsia kami berdua dan bila tiba masanya nanti benda tersebut akan terbongkar juga," jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Syatilla kini sibuk menjalani pengambaran drama bertajuk Dia Isteri Luar Biasa yang bakal ditayangkan menerusi slot Akasia TV3.
Syatilla Melvin, Shaheizy Sam

Artikel Lain