suria

Che Ta Akui Penat, Mula Memilih Tawaran Berlakon

Rozita Che Wan
PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan terlalu memilih dalam menerima sebarang tawaran lakonan sejak sibuk dengan syarikat produksinya, Padusi Productions.

Rozita berkata, dia hanya menerima tawaran lakonan daripada syarikat Zeel Production dan tidak akan melibatkan diri dalam mana-mana syarikat penerbitan lain lagi.

"Bukannya cerewet, tetapi saya dah penat nak berlakon. Memandang Zeel Production sudah saya anggap seperti keluarga, saya hanya terima tawaran daripada produksi itu sahaja.

”Saya harap produksi lain tidak terasa. Lagipun saya kini sibuk dengan produksi saya sendiri," katanya kepada mStar Online.

Rozita ditemui pada majlis pelancaran program Aku Yang Masak Kau Yang Panas di Talent Launge di sini pada Rabu.

Rozita Che Wan tetap ayu...

Isteri kepada aktor Zain Saidin berkata, ini merupakan penerbitan ketiga syarikatnya selepas program Resepi Memikat Suami dan Wak Sayang Lu.

"Alhamdulillah, Padusi sudah menerbitkan tiga program dan saya mula seronok bekerja di belakang tabir.

"Mengenai Aku Yang Masak Kau Yang Panas, saya tahu rakyat Malaysia sukakan program memasak.

"Untuk program ini ia memberi sedikit kelainan di mana penyampaiannya lebih santai dan menguji artis-artis yang terlibat mengenai masakan. Ada artis daripada kosong pengetahuan tentang masakan terus hebat di dapur," ujarnya.

Aku Yang Masak Kau Yang Panas melibatkan sebanyak 12 selebriti antaranya Micheal Ang, Dafi, Hefny Sahad, Marsha Milan, Sharifah Sakinah, Amelina dan Ieda Moin.

Kesemua selebriti itu akan bertanding sepanjang 13 episod untuk memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM20,000.

Program ini dihoskan oleh Jihan Muse bersama Chef Adu serta seorang artis jemputan pada setiap minggu.

Antara juri jemputan yang terlibat termasuklah Enot, Norsheila Amin, Zul Yahya, Serina Redzuawan, Chef Nizam Nor dan Chef Florence Tan.

Dalam perkembangan lain Rozita juga bakal melancarkan produk minyak wangi menggunakan label Precious by RCW pada Mei depan.

Rozita Che Wan, Zeel

Artikel Sebelum

Artikel Lain